Followers

Saturday, November 22, 2008

Azizul buat kejutan


Oleh Aida Adilah Mataida@hmetro.com.my

VELODROM Hisense Arena menyaksikan kehebatan pelumba bertubuh kecil negara, Mohd Azizulhasni Awang menggegarkan trek kejohanan untuk merangkul pingat emas pertama negara di Siri 2 Piala Dunia yang berlangsung di Melbourne, semalam.Tiada siapa menduga, Azizul yang hanya mempunyai ketinggian 163sm mampu menangani tekanan untuk membolosi lawan ketika diapit rapat dua pelumba, termasuk pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Beijing, Kazunari Watanabe.Pelumba yang berasal dari Terengganu itu menebus kekecewaannya dalam acara keirin di Sukan Olimpik ketika dia yang disifatkan sebagai pelumba mentah, melepasi garisan di tempat terakhir.Tampil dengan rentak kayuhan konsisten di samping suntikan semangat hasil kejayaan di Grand Prix Perth, minggu lalu, strategi yang dipraktikkan Azizul di samping keberaniannya itu membuahkan hasil apabila berjaya melepasi kepungan ketika perlumbaan berbaki 30 meter.

“Saya gembira dengan kejayaan ini. Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menang, saya sebenarnya tetap yakin. Kemenangan memang sudah saya jangka apabila berjaya melepasi Watanabe dan selepas itu, saya mula yakin saya boleh menang,” katanya.

Mengulas sama ada dia mampu untuk terus mengekalkan rentak konsisten dalam acara pecut 200 meter individu di samping Josiah Ng hari ini, pemegang rekod Asia itu berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi dan tidak mahu terlalu menonjolkan diri.Dalam acara keirin final itu, Azizul menewaskan Andriy Vynokurov dari Ukraine, François Pervis (Perancis) Cofidis Shane Perkins (Australia) dan Watanabe (Jepun).Selepas dua siri, Azizul kini mengumpul 12 mata untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan. Pervis mendahului dengan 20 mata, diikuti Vynokurov (13) manakala Christos Volikakis keempat (11) dan kelima, Kenny Jason (10).Bagi Presiden Persatuan Basikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, kejayaan Azizul boleh disingkap sebagai kejayaan pembuka selera untuk pelumba muda negara itu mengorak langkah lebih jauh selepas Olimpik.“Saya gembira dengan kejayaannya. Boleh dikatakan sebagai kejayaan berganda buat Azizul dan juga negara apabila bendera dan lagu Negaraku dimainkan di velodrom itu buat pertama kali. Jika ramai atlit belum mendapat sentuhan kejayaan seperti (Datuk Lee) Chong Wei selepas Olimpik, Azizul yang dapat melakukannya,” katanya.Terdahulu, trio negara, Azizul, Josiah dan Edrus Mohd Yunos dalam acara pecut berpasukan hanya mampu menduduki tempat ketujuh dalam acara dimenangi pasukan Toshiba.Sementara itu, wakil tunggal negara, Fatehah Musa turut terkandas dalam aksi penentuan ke suku akhir kepada pelumba Ukraine, Lyubor Shulika dalam acara pecut akan meneruskan cabaran dalam acara keirin, hari ini.Selepas tamatnya Piala Dunia di Melbourne, barisan trek negara akan meneruskan cabaran berikut di tiga lagi kejohanan Piala Dunia iaitu di Cali (Colombia), Beijing (China) dan Copenhagen (Denmark) sebelum layak ke Kejohanan Dunia.Setiap pelumba akan cuba mengutip sebanyak mata pada kelima-lima siri Piala Dunia untuk melayakkan mereka beraksi di Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Poland tahun depan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...