Followers

Saturday, November 22, 2008

Azizulhasni raih emas

Oleh MN NORZASRUDINnorzasrudin@kosmo.com.my

PELUMBA sensasi negara, Azizulhasni Awang (gambar) berjaya membuktikan kehebatannya untuk memenangi acara keirin pada sirkit kedua Kejohanan Lumba Basikal Trek Piala Dunia di Melbourne, Australia semalam.
Meskipun dicabar lima pelumba terbaik dunia, Azizulhasni tidak berdepan masalah untuk terlebih dahulu tiba ke garisan penamat, sekali gus membolehkannya membawa pulang pingat emas.
Pada perlumbaan akhir sebanyak lapan pusingan semalam, pelumba muda kelahiran Terengganu ini mengetepikan cabaran pelumba Ukraine, Andriy Vynokurov, Francois Pervis (Perancis), Shane Perkins (Australia), Kazunari Watanabe (Jepun) dan Christos Volikakis (Greece).
Kemenangan Azizulhasni ini sedikit sebanyak telah mengubat kekecewaan pasukan negara yang mencatat keputusan hambar pada hari pertama kelmarin.
Mengulas kejayaan Azizulhasni, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, kemenangan tersebut dianggap cukup unik.
"Azizulhasni telah membuktikan bahawa semangatnya tidak pernah luntur meskipun gagal memenangi sebarang pingat pada temasya Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China Ogos lalu.
"Selain itu, ia juga dilakukan ketika pelumba negara baru sahaja meneruskan program latihan selepas berehat panjang pada musim cuti perayaan lalu.
"Ini adalah satu perkembangan yang positif tidak hanya kepada Azizulhasni tetapi kepada semua pelumba basikal negara," kata Abu Samah kepada Kosmo! semalam.
Pada saingan semalam, Azizulhasni telah dihimpit Watanabe dan Pervis pada jarak 50 meter terakhir.
Mujur dia masih berjaya meloloskan diri kira-kira 30 meter menuju ke garisan penamat.
Bagaimanapun kecemerlangan Azizulhasni gagal diteruskan oleh seorang lagi pelumba muda negara, Akmal Amrun apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 selepas ketinggalan dua pusingan dalam acara akhir scratch.
Hari ini, Josiah Ng dan Azizulhasni sekali lagi menjadi sandaran untuk memenangi pingat emas apabila tampil dalam acara pecut individu.
Manakala pelumba wanita tunggal negara, Fatehah Mustapa yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dalam acara pecut individu semalam akan berlumba dalam acara keirin dan 500 meter hari ini.
Kelmarin, Amir Mustafa Rusli berjaya mencatat rekod baru kebangsaan dalam acara 4 kilometer kejar mengejar individu, namun dia sekadar menduduki tempat ke-10 daripada 12 pelumba.
Amir yang turut bertanding dalam acara 30km perlumbaan mata gagal meraih sebarang mata dalam saingan akhir yang dimenangi jaguh Australia, Glenn O'Shea.
Manakala gandingan Azizulhasni, Muhamad Edrus Yunos dan Josiah Ng pula sekadar ditempat ketujuh daripada 10 pasukan dalam acara pecut berpasukan.
Pada sirkit pertama di Manchester, England Oktober lalu, pasukan negara tidak mengambil bahagian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...