Jaguh dari Dungun
Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN dan NORZASRUDIN MOHAMED NOR
SEPULUH tahun lalu, seorang budak lelaki di Dungun, Terengganu, sering berjemur di tepi jalan raya untuk memberi sorakan kepada peserta Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).
Dia akan memerhatikan kayuhan setiap pelumba yang lalu melintasi kampung halamannya hingga mereka hilang daripada pandangan.
Di dalam hatinya dia berkata, alangkah baiknya jika dirinya juga dapat menjadi seorang pelumba basikal yang hebat seperti peserta dalam perlumbaan berprestij itu.
AZIZULHASNI (kiri) dan Mohd. Rizal sanggup mengorbankan apa saja demi sukan berbasikal.
|
AZIZULHASNI menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik 2012. |
Hujung minggu lalu, budak lelaki itu, Azizulhasni Awang, kini berusia 21 tahun, mengejutkan peminat sukan lumba basikal dunia apabila beliau hampir menewaskan jaguh Perancis, Gregory Bauge pada perlumbaan akhir 200 meter pecut di Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland.
Walaupun sekadar membawa pulang pingat perak, legenda basikal trek Perancis, Arnaud Tournant mengagumi skil yang dimiliki Azizulhasni dan menyifatkannya sebagai pelumba paling berbakat ketika ini.
"Dia cukup pantas, taktikal dan sangat berbakat walaupun bertubuh kecil. Dan kerana badannya yang kecil itulah, dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa yang kita tidak terfikir," kata bekas pelumba yang masih memegang rekod dunia 1 kilometer ujian masa itu.
Kini, Azizulhasni tiba-tiba menjadi tumpuan media malah akhbar-akhbar antarabangsa menggelarnya 'Mesin Terbang' kerana pecutan kayuhannya.
Azizul bagaimanapun menafikan semua itu membuatkan dirinya berasa popular.
"Saya masih Azizul yang sama seperti empat tahun lalu. Ya, mungkin pemakaian saya berubah, tetapi itu adalah perubahan mengikut umur, bukan kerana saya berasa diri hebat," jelasnya tegas.
Mengenakan baju T leher bulat yang dipadankan dengan seluar jean biru, gaya Azizulhasni ringkas sahaja. Namun tenaganya mudah terasa, terutamanya daripada aksi-aksi yang diberikan kepada lensa kamera Jurnal.
Berketinggian 167 sentimeter, tubuh anak muda ini kelihatan tegap, mungkin hasil latihan yang dijalaninya selama lima jam sehari pada waktu pagi dan petang, enam hari seminggu.
Latihan itu meliputi berkayuh di jalan raya dan trek serta di gimnasium
Di sebalik sinaran cahaya glamor yang mula menyilaukan matanya, anak kelahiran Dungun ini berkata, semangatnya untuk memenangi perlumbaan-perlumbaan basikal tidak mungkin luntur biarpun untuk empat tahun lagi.
"Saya sedar tentang fenomena hangat-hangat tahi ayam yang sering dikhuatiri, terutamanya di Malaysia. Tetapi saya percaya saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku," ujar bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini.
Azizulhasni malah menyasarkan pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.
"Kami mempunyai jurulatih yang sangat memahami, John Beasley, seorang warga Australia. Dia sudah seperti bapa angkat kami. Kami juga banyak berbincang. Di luar latihan, dia pernah meraikan hari jadi saya dengan membelanja kami makan," ujar Azizulhasni tertawa.
Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini juga mengaku sering dimarahi Beasley kerana beliau mencuba terlalu kuat dalam satu latihan.
"Dulu ketika berlatih untuk skuad junior, saya selalu kena marah sebab selalu berlatih melebihi arahan atau silibus. Tapi saya seorang yang tidak akan menunggu arahan untuk bergerak (berlatih)," kata beliau.
Azizulhasni berlatih selama setahun di Darebin International Sports Centre di Melbourne, Australia sebelum ini.
"Orang Australia selalu bersukan. Itu sudah menjadi budaya mereka berbanding cuma 10 peratus rakyat Malaysia yang aktif bersukan," kongsi Azizulhasni yang merancang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Deakin di Melbourne dalam jurusan perdagangan.
DARI kiri: Bapa dan ibu Azizulhasni, Awang Embong dan Rohani Yahya, serta ibu angkat Azizulhasni, Selamiah Yong.
Azizulhasni mula 'berkenalan' dengan basikal sejak berumur empat tahun.
Bagaimanapun, kata ibu angkatnya, Selamiah Yong, 45, bakat Azizulhasni mula dicungkil pada usia 12 tahun oleh jurulatih basikal, Rozimi Omar.
Berbekalkan sebuah basikal pemberian arwah bapa angkatnya, Mustafa Ngah, Azizulhasni mula menyertai pertandingan di daerah Dungun.
"Basikal itu hadiah kerana dia memperoleh 4A 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ketika itu dia bersekolah di Sekolah Rendah Batu 48, Dungun," kata Selamiah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong Stesyen, Dungun, minggu ini.
Selepas itu, Azizulhasni semakin kerap menang perlumbaan basikal di negeri ini.
Menurut Selamiah, beliau membesarkan Azizulhasni seperti anak sendiri kerana pelumba itu telah diambil daripada ibu kandungnya sejak dia berusia 15 hari.
"Saya menganggap dia sebagai anak sendiri kerana kebetulan ketika itu kami tidak mempunyai anak.
"Saya bukan mengambil Azizulhasni kerana keluarganya mengalami kesusahan tetapi ibunya masih berada di hospital sebab belum sihat sepenuhnya.
"Pada masa yang sama, keluarga itu juga mempunyai seorang lagi anak lelaki yang masih kecil, iaitu abang Azizulhasni yang ketika itu baru berusia satu tahun," terang Selamiah.
Katanya, sejak dari kecil lagi Azizulhasni mempunyai perwatakan yang sangat agresif tetapi mendengar kata dan menghormati orang yang lebih tua.