Followers

Sunday, October 10, 2010

Namaste! Azizulhasni hanya wujud satu dalam sejuta!

SEJAK membuat liputan sukan di luar negara, pelbagai ragam atlit kebangsaan pernah disaksikan. Detik menang atau kalah beberapa acara serta kontroversi masih segar dalam minda saya.

Cuma, semalam saya dapat merakamkan satu aksi menarik yang boleh dianggap terbaik. Ia adalah sifat berani ditunjukkan Azizulhasni Awang - sesuatu yang saya jarang dapat lihat pada atlit negara lain ketika mereka dilontarkan cabaran.
Walaupun anak muda dari Terengganu itu dibatalkan kemenangannya gara-gara kesilapan teknikal menghimpit lawan, apa yang menarik tumpuan saya adalah perwatakan ikon sukan negara ini.
Pada usia 22 tahun, erti takut berdepan lawan lebih perkasa tidak timbul. Dia cuma tahu untuk berlumba dengan kayuhan terbaik dan memiliki mental untuk menang - baik di pentas Sukan Asia, kejohanan dunia atau pun Olimpik.

Dia pernah melakukan gelagat sama ketika berdepan jaguh dunia dari Scotland, Sir Chris Hoy dalam saingan suku akhir acara keirin di Sukan Olimpik Beijing, dua tahun lalu sehingga mendapat pujian.

Sebenarnya saya tidak pernah menyaksikan aksi Azizulhasni dari dekat di gelanggang pertandingan, tetapi sekurang-kurangnya pengalaman pertama ini memberi saya satu rumusan, atlit dengan ketinggian kira-kira 1.57 meter ini mungkin sukar ditemui bagi satu tempoh yang lama.

Atlit negara lain yang terlepas peluang menang pingat emas mungkin duduk menangis atau bersifat emosi, gelagat berkenaan jauh daripada wajah pelumba kecil itu yang boleh berbual mesra dengan wartawan ketika diwawancara, semalam.
Seperti kata pemenang emas acara keirin, Josiah Ng, semalam: “Azizul adalah seorang dalam sejuta di Malaysia yang dikurniakan bakat besar dan saya tidak tahu sama ada akan lahir seorang lagi sepertinya.”

Apa yang pasti, acara berbasikal trek sukar mencari watak seperti ini apabila dia bersara satu hari nanti dan sifatnya harus menjadi contoh atlit muda lain untuk tidak sama sekali takut apabila berdepan jaguh dunia.

Bagi Azizulhasni, dia adalah jaguh dunia dan elemen penting ini akan membantu dia untuk satu tempoh yang lama.

Saya akui agak sedih dia tidak menang semalam tapi sekurang-kurangnya saya melihat sifat wira seorang atlit negara dari dekat.

1 comment:

PRUDENTIAL BSN TAKAFUL said...

Tahniah bro.. atas kejayaan cemerlang dalam lumba basikal... masih mencari rakaman aksi di Sukan Komonwel... tapi x jumpa...kalau ada post lah di sini... sure BEST

semoga sentiasa istiqomah..dan terus berjaya.. amin

p/s ni bukan setakat 1 dalam sejuta.. tapi dah jadi 1 dalam 28juta rakyat Malaysia

wan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...