Followers

Sunday, December 19, 2010

Azizulhasni juara Piala Dunia


KUALA LUMPUR - Selepas mempamer aksi mengecewakan pada pusingan pertama di Melbourne, dua minggu lalu, jaguh lumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang menunjukkan kebangkitan hebat apabila menyambar kejuaraan Piala Dunia UCI pertamanya musim ini dengan muncul juara keirin pusingan kedua di Cali, Colombia semalam.

Malah, kemenangan yang disaksikan oleh kira-kira 3,000 penonton itu turut melonjakkan Azizulhasni sebagai pendahulu keseluruhan Piala Dunia dengan mengumpul 14 mata - 2 mata dipisahkan daripada pesaing terdekat yang juga juara peringkat pertama, Chris Hoy dari Britain.

Strategi jurulatih, John Beasly untuk merehatkan juara Sukan Asia itu daripada acara pecut berpasukan kelmarin nyata membuahkan hasil, apabila ia memberi tenaga tambahan buat Azizulhasni untuk melakukan kayuhan hebat, sekali gus memenangi acara kegemarannya.

Selepas bermula goyah pada pusingan pertama di Melbourne kerana faktor keletihan mengharungi jadual padat Sukan Komanwel dan Asia, Azizulhasni akhirnya membuktikan dia sememangnya layak berada dalam program Road to London 2012.

"Pelumba negara berjaya menambat hati hampir 3,000 penonton yang memenuhi velodrom untuk menyaksikan aksi pelumba handalan dari seluruh dunia dan saya amat bangga mendengarkan lagu kebangsaan kita berkumandang di Cali.

"Bagaimanapun Azizulhasni bakal berdepan tugas yang getir untuk mempertahankan jersi pendahulu keseluruhan yang diraih apabila mengharungi baki dua lagi saingan Piala Dunia, apatah lagi ia akan menentukan tiket Sukan Olimpik London,'' kata pengurus pasukan trek negara, Datuk Naim Mohamad.

Selain Hoy, Azizulhasni, yang memenangi dua pusingan tahun lalu, akan turut berdepan cabaran Puerta Zapata, Francois Pervis,Teun Mulder, Christos Volikakis, Denis Spicka, Mickael Bourgain, Simon Ven Velthooven dan Scott Sunderland.

Dua lagi pusingan Piala Dunia akan berlangsung di Beijing, China (21-23 Januari) dan Manchester, England dari 18-20 Januari.

Hari ini, Azizulhasni sekali lagi akan turun beraksi dalam saingan pecut individu bersama Mohd. Edrus Yunus dan Hafiz Sufian, manakala Fatehah Mustapa menjadi pelumba wanita tunggal negara bertanding i dalam acara keirin.

Pelumba Malaysia beraksi mewakili pasukan Yayasan Sime Darby (YSD).






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...