KELUHAN IKHLAS
DARI PEJUANG SUKAN NEGARA
Malang sekali hari ini saya terpaksa
membazirkan sedikit daripada waktu terluang saya untuk membuat penulisan ini.
Objektif utama adalah untuk memberikan ulasan yang lebih lanjut kepada mereka
yang mungkin tidak mengetahui situasi sebenar berkenaan isu panas ‘Taj Mahal’
yang berlaku ketika Kejohanan Berbasikal Asia di India bulan lalu.
Untuk pengetahuan semua, perkara seperti
ini bukan baru sahaja berlaku dalam industri sukan kita lebih-lebih lagi dalam
arena sukan lumba basikal, pelbagai ragam dan kerenah yang tidak enak memang
sudah lama bertapak cuma tidak diketahui masyarakat. Saya percaya dan yakin,
ramai diluar sana yang ingin menyuarakan ketidak puasan hati mereka apabila
perkara seperti ini berlaku tetapi malangnya tiada siapa yang ingin mendengar
rintihan dan keluhan mereka, juga tiada siapa yang ingin membesarkan perkara
tersebut dan tiada siapa berminat untuk meng war-war kan isu itu untuk
dijadikan perhatian.
Untuk makluman, Haji Ibrahim menghilangkan
diri tanpa pengetahuan semua pihak. Ketika semua pelumba,jurulatih dan pegawai
lain sedang sibuk di Velodrome, tiada siapa tahu dimanakah pengurus pasukan
Malaysia. Pihak penganjur ada mencari pengurus pasukan berikutan mempunyai
masalah dengan pita lagu negaraku, malangnya beliau tiada disana. Bayangkan
jika Haji Ibrahim berada disana, sudah tentu masalah ini dapat diselesaikan dan
ianya tidak menjadi isu besar!
Salah seorang pelumba yang tidak bertanding
kebilik Haji Ibrahim sendiri untuk mencari beliau malangnya beliau tiada
disana.Sekurang-kurangnya sebelum berangkat ke Taj Mahal, tinggalkan sepatah
kata kepada mana-mana anggota pasukan supaya semua sedia maklum dan dapat
bersedia. Para jurulatih,pegawai dan staff bantuan bergilir-gilir menjadi
pengurus pasukan dek kerana terkejar-kejar dengan jadual perlumbaan yang padat.
Saya mendengar sendiri keluhan dari jurulatih dan pegawai-pegawai lain selepas
tamat perlumbaan hari itu dan pemergian Haji Ibrahim hanyalah diketahui setelah
mereka pulang pada malam hari. Pendapat peribadi saya ini adalah suatu tindakan
yang tidak bertanggungjawab.
Alasan yang diberikan untuk menjaga pasukan
paralimpik ke Taj Mahal adalah alasan yang tidak masuk akal ketika pasukan trek
sedang berjuang di Velodrome untuk mendapatkan pingat. Haji Ibrahim perlu lebih
peka yang mana lebih penting dan tidak. Pasukan paralimpik Malaysia mempunyai
jurulatih,pembantu jurulatih dan atlit sempurna yang cukup untuk membantu rakan
yang kurang sempurna dan alasan untuk membantu mereka adalah tidak dapat
diterima.Sebagai pengurus pasukan, Haji Ibrahim sendiri tidak mengetahui acara
atlet-atlet yang bertanding dan waktu perlumbaan mereka. Ini menunjukkan
ketidak pekaan beliau terhadap tanggungjawab yang diberikan. Saya tidak
mempunyai masalah peribadi dengan beliau dan saya menghormati beliau sebagai
yang lebih tua, saya juga ada meminta maaf setelah pulang dari India tempoh
hari sekiranya saya membuat kesilapan tetapi apabila kita masuk ke bab kerja
ataupun ‘bisnes’, tiada lagi istilah suka-suka.Semua harus memberikan tumpuan
penuh yang komited.Saya melihat bagaimana jurulatih saya sendiri dan pegawai
lain bangkit awal ,bertungkus lumus dan seharian berada di Velodorme untuk
membantu para pelumba.
Ketika semua pelumba merujuk kepada Haji
Ibrahim berkaitan masalah dobi untuk pakaian sepanjang kejohanan, jawapan mudah
yang diberikan adalah beliau tiada bajet dan pihak persatuan tidak mempunyai
duit. Begitu juga ketika para atlit membuat aduan tentang makanan yang
disediakan oleh pihak penganjur tidak bersesuaian dimana mereka menyediakan
kari masala ketika breakfast,lunch dan dinner. Haji Ibrahim hanya berkata yang
beliau tidak boleh membuat apa-apa kerana itu yang disediakan oleh pihak
penganjur dan kita terpaksa makan, tetapi apabila pengurus pasukan hong kong
atau china (jika tidak silap saya), mereka membuat aduan untuk ubahan menu
makanan,terus pada keesokan harinya menu makanan diubah dan ditambah dengan
masakan chinese food. Ini menunjukkan tiada usaha yang dilakukan oleh pengurus
pasukan kita berbanding negara lain. Dalam erti kata lain kalah sebelum
bertanding.
Para pembaca sekalian, tujuan utama saya
‘tweet’ ketika berlakunya insiden tersebut adalah pertama kerana terkejut dan
marah dengan apa yang berlaku kerana masih tiada perubahan didalam pengurusan
oleh pihak persatuan dan perkara ini tidak sepatutnya lagi berlaku kerana
berbasikal adalah salah satu sukan teras yang menjadi harapan untuk membawa
pulang pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Semua orang dapat lihat, telah
berlakunya perubahan drastik didalam pencapaian atlet berbasikal diperingkat
negara dan antarabangsa tetapi busuknya apabila prestasi pentadbiran masih
ditakuk yang kuno!.
Keduanya, ini adalah tanggungjawab saya
sebagai salah seorang pelumba elit negara untuk memperbetulkan permasalahan ini
dan menolong adik-adik dan generasi seterusnya supaya mereka tidak ditimpa
dengan insiden yang sama lagi. Saya mengambil peluang menggunakan status saya
sebagai public figure dan ikon sukan berbasikal negara untuk menyuarakan
perkara ini agar menjadi perhatian pelbagai pihak dan isu ini dapat dikupas
demi kemajuan sukan berbasikal Malaysia. Bayangkan jika yang menyuarakan isu
ini adalah dari kalangan pelumba junior, adakah isu ini akan menjadi ‘big wave’
seperti apa yang berlaku sekarang ini?
Tidak perlu saya menceritakan segala
keaiban yang berlaku di Kejohanan ACC tempoh hari ataupun pada kejohanan
sebelum ini kerana ianya akan lari dari nawaitu sebenar. Setiap perkara yang
berlaku mempunyai sebab dan akibatnya dan yang paling penting adalah iktibar
dan pengajaran yang harus diambil untuk melakukan perubahan dan seterusnya
dijadikan pengisian untuk masa hadapan.
Kepada sesetengah pihak, kita harus sedar
yang kita sudah berada di era yang baru. Berita dapat disebarkan keseluruh
dunia dalam beberapa saat sahaja dan yang paling penting kebenaran tidak dapat
dikaburi. Kita semua tidak dapat menafikan kuasa ‘social media’ adalah diluar
jangkaan kotak pemikiran manusia dimana dunia yang terbentang luas ini telah
menjadi amat kecil.
Dengan meledaknya isu ini, saya berharap
sekurang-kurangnya, mereka yang tidak ikhlas didalam arena berbasikal ini akan
takut untuk melakukan kesalahan pada masa hadapan. Rakan-rakan sekalian, amanah
adalah suatu tanggungjawab yang besar diatas muka bumi, sebagai seorang
beragama islam, amanah haruslah dijaga kerana ianya dituntut oleh Nabi Muhammad
S.A.W. Sabda beliau,
“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak
beramanah dan tidak diterima sembahyang orang yang tidak bersuci dan tidak
sempurna agama, orang yang tidak diterima sembahyangnya- (Riwayat At-Tabrani). Sebagai
seorang atlit, amanah yang diberikan untuk berjuang menaikkan martabat sukan
negara mestilah di turuti. Begitu juga dengan tanggungjawab dan amanah bagi
pihak lain juga. Mungkin didunia kita dapat lari dari kesalahan tetapi ingatlah
akan datangnya akhirat nanti.
Saya menyeru kepada semua pihak untuk
bangkit menjadi lebih matang dalam menyelesaikan sesuatu isu. Ini bukan medan
untuk menuding jari sesama sendiri. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar
dari perkara yang telah berlaku dan yang paling penting adalah melakukan
perubahan demi perubahan untuk kemajuan sukan lumba basikal negara.
Yang mengharapkan perubahan
AZIZULAWANG