Followers

Wednesday, December 30, 2009

Kebangkitan basikal trek


Azizulhasni Awang mewarnai pentas dunia dalam acara berbasikal

KUALA LUMPUR –Tahun 2009 membawa banyak kisah manis buat sukan berbasikal negara terutama kebangkitan acara trek di peringkat dunia.

Selepas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China mendedahkan potensi besar yang dimiliki pelumba kita, kebangkitan Malaysia dalam sukan ini ternyata tidak mampu dihalang lagi sebaik melangkah ke tahun berikutnya.

Nama Azizulhasni Awang melonjak dalam sekelip mata menjadi pelumba pecut yang digeruni walaupun masih cetek dari segi pengalaman.

Kekalahannya kepada juara Olimpik, Chris Hoy di suku akhir temasya 2008 itu membuka mata pemerhati basikal dan media antarabangsa yang pantas menggelarkannya ‘The Pocketrocket Man’.

Bertubuh kecil tetapi memiliki kekuatan dan kepantasan setanding pelumba bertaraf dunia lain menyebabkan Azizulhasni tidak perlu menunggu lama untuk menyinar.

Pada kejohanan trek dunia di Pruszkow, Poland pada Mac 2009, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu ini mengejutkan banyak pihak apabila hampir muncul juara dunia.

Cuma dek kerana kurang pengalaman menyaksikan Azizulhasni tewas kepada pelumba Perancis, Gregory Bauge pada perlumbaan akhir acara 200m pecut.

Tidak cukup menggegar dengan itu, muncul seorang lagi pelumba yang tidak kurang hebatnya di kejohanan sama.

Mohd. Rizal Tisin menambah ceria maruah negara dengan meraih gangsa dalam acara 1km ujian masa individu.

Detik itu mengubah sama sekali persepsi dunia tentang Malaysia yang mula berjaya melahirkan pelumba hebat seperti Azizulhasni dan Rizal.

Apatah lagi Asia yang makin mengiktiraf negara kita sebagai antara kuasa basikal baru di benua ini selain China, Jepun dan Korea Selatan.

Maka dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Tenggarong, Kalimantan pada Ogos, Azizulhasni tidak menghadapi masalah untuk muncul pelumba pecut No. 1 Asia walaupun baru sahaja selesai menduduki peperiksaan di Universiti Deakin.

Bersama Rizal dan Muhammad Edrus Yunos, Azizulhasni turut menyumbang emas dalam acara pecut berpasukan.

Rentetan kejayaan demi kejayaan ini walaupun tidak sebesar Olimpik, pastinya menjadi permulaan baik buat sukan berbasikal negara untuk melangkah ke tahun 2010.

Berbekalkan beberapa pelumba berbakat besar yang kini menjalani latihan pusat di Melbourne, Australia di bawah jurulatih John Beasley, segala tidak mustahil buat Malaysia untuk terus menggegar persada basikal dunia.

Namun malang bagi pelumba lebuh raya negara yang gagal mengikut jejak pelumba trek apabila masih berada di bawah prestasi di takuk lama.

Pencapaian di Le Tour de Langkawi (LTdL), ACC di Kalimantan mahu pun Sukan SEA Laos ternyata cukup mengecewakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...