Followers

Tuesday, January 19, 2010

Azizulhasni yakin ulangi pencapaian emas keirin Piala Dunia



AzizulHasni (kiri) dan pelumba negara yang akan menyertai Kejohanan Piala Dunia Klasik, Idrus Yusnus, Josiah Ng, Hafiz Sufian dan Akmal Amrun, melaungkan kata-kata semangat sebelum berlepas ke Beijing dari KLIA, Sepang, semalam.


KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang bertekad untuk memenangi acara keirin pada Piala Dunia Klasik di Beijing, China yang merupakan siri keempat dan terakhir, yang bermula Jumaat ini.

Jika berjaya, ia sekali gus dapat mengulangi pencapaiannya tahun lepas pada musim 2008-2009, apabila menewaskan Gregory Bauge dari Perancis pada pusingan akhir untuk meraih pingat emas.

Pelumba berusia 22 tahun itu berkata, ia merupakan peluang terakhirnya untuk memenangi kejohanan itu, setelah gagal berbuat demikian pada dua siri Piala Dunia Klasik yang disertainya sebelum ini, iaitu di Manchester, England dan Melbourne, Australia.

"Kemenangan di Beijing juga penting kerana saya berpeluang untuk meraih jersi putih, selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia pada Mac ini di Denmark," katanya di sini, semalam.

Pelumba pasukan Bike Technologies Australia (BTA) itu, kini mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan keenam, manakala pelumba dari Jerman, Maximilian Levy mendahului di tempat pertama dengan 15 mata di dalam acara keirin.

"Saya sedar saingan pada siri terakhir Piala Dunia ini akan sengit kerana ramai pelumba-pelumba terbaik dunia akan turun beraksi untuk mencari tempat ke Kejohanan Dunia, namun saya cuba memberikan aksi terbaik," katanya.

Mengenai prestasinya pada siri Piala Dunia bagi musim 2009-2010, pelumba kelahiran Terengganu ini menyifatkan beliau masih konsisten terutamanya menjelang Sukan Asia dan Komanwel penghujung tahun ini.

"Walaupun terpaksa membahagikan masa dengan pengajian, serta kadang-kala saya terpaksa meninggalkan latihan untuk mengikuti kelas, ia tidak menjejaskan prestasi saya," katanya.

Bagi musim 2009-2010 Piala Dunia Klasik, pencapaian paling cemerlang Mohd Azizulhasni adalah memenangi pingat perak dalam acara keirin ketika siri kedua di Melbourne, Australia, pada November tahun lepas.

Berbanding musim sebelumnya (2008- 2009), Mohd Azizulhasni memenangi dua siri Piala Dunia di dalam acara keirin iaitu Melbourne (siri kedua) dan Beijing (keempat), yang menyaksikannya menyarung jersi putih selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland tahun lepas.

Kecemerlangan pelumba itu, yang merupakan antara prospek emas Sukan Olimpik 2012, berterusan apabila meraih perak di dalam acara pecut pada Kejohanan Trek Dunia itu. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...