TULUS...Azizul (dua kanan) berpakaian ihram bersama ahli keluarga.
TIDAK semua umat Islam terpanggil untuk menjadi tetamu Allah dan hanya insan terpilih mampu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Kesempatan melakukan ibadat Umrah selepas menempuh pelbagai ranjau dalam karier, pelumba basikal Azizulhasni Awang meninggalkan sejuta kenangan yang mungkin tidak akan dilupakan.
Ketenangan yang dicari bersama isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat dan ahli keluarga kedua belah pihak cukup mendamaikan hati pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu apabila dapat menjejakkan kaki buat pertama kali di Makkah dan Madinah.
Ikuti temubual wartawan Metro Ahad, AIDA ADILAH MAT bersama pelumba harapan negara sekembalinya Azizul ke tanah air.
METRO AHAD (MA): Bagaimana perasaan ketika menjejakkan kaki buat pertama kali di Tanah Suci Makkah?
AZIZULHASNI AWANG (AHA): Pertama kali saya sampai kami masuk melalui Madinah. Saya cukup terpegun melihat keindahan Masjid Al-Nabawi dan jemaah yang padat. Hari pertama tiba saya berpeluang solat Subuh buat kali pertama dan mengambil kesempatan itu untuk memasuki Raudhah (tempat dalam Masjid Nabawi terletaknya makam Rasulullah SAW). Terbit rasa sedih dan terharu kerana tidak menyangka berpeluang menjejakkan kaki ke dalam Raudhah.
Selepas itu kami bergerak ke Makkah. Hotel kami betul-betul berdepan dengan Masjidil Haram. Dari bilik penginapan sudah boleh melihat Kaabah.
Ketika itu saya seperti tidak percaya akhirnya saya dapat melihat Kaabah dengan mata sendiri. Lebih mengujakan apabila dapat bersembahyang dalam masjid itu dan dapat melihat kehebatan dan keagungan Kaabah dengan mata saya. Rasa bersyukur yang tak terhingga kerana orang yang dapat ke sana adalah yang dipilih oleh Allah.
MA: Tempoh berada di Tanah Suci Makkah, satu saat yang mungkin tidak akan dilupakan, boleh anda ceritakan pengalaman sepanjang berada di sana?
AHA: Hari terakhir di Madinah sebelum bergerak ke Makkah, bandar Madinah dilanda ribut pasir. Ia menandakan sudah masuk pertukaran musim sejuk ke musim panas. Ustaz yang membawa kami memaklumkan bahawa kami di kalangan orang yang bertuah kerana dapat melalui pengalaman ini. Paling tidak dapat saya lupakan saat ketika saya mencium Hajarul Aswad.
Dalam keadaan orang yang padat, berebut dan bergasak untuk mencium batu suci itu dan ditambah dengan mereka yang bertubuh sasa dan besar, orang berbadan kecil memang tak ada peluang tapi dengan keberkatan tanah suci saya berjaya menciumnya. Alangkah bersyukur. Begitu juga dengan pintu Kaabah, dinding Kaabah dan Hijir Ismail. Di Tanah Suci semuanya yang kita niatkan mesti akan dimakbulkan Allah. Saya juga berharap semua doa yang diminta di sana dimakbulkan-Nya.
MA: Detik yang tidak dapat dilupakan dan penuh bermakna?
AHA: Selepas solat sunat dan tawaf wida (tawaf selamat tinggal), saya dan isteri sama-sama berhajat untuk memegang dinding Kaabah buat kali terakhir dan berdoa untuk kali terakhir, keadaan seperti biasa penuh sesak yang nampak seperti peluang memang tipis tapi kami percaya Allah mendengar permintaan kami, kami berjalan menuju ke arah Multazam dan apabila semakin menghampiri seolah-olah kami diberi laluan sampailah ke depan Kaabah dan dengan tiba-tiba orang yang sedang memegang dinding Kaabah itu beredar meninggalkan ruang untuk kami berdua terus kami masuk memegang dinding Kaabah buat kali terakhir.
MA: Apa yang membuatkan anda terbuka hati untuk mengerjakan Umrah?
AHA: Sebenarnya hajat ini memang sudah lama diidamkan, tapi masa terbatas. Selepas selesai urusan perkahwinan ditambah pula dengan saya yang terpaksa berehat kerana kecederaan membuka peluang untuk melakukan Umrah ini. Rasanya semuanya sudah dirancang oleh-Nya buat saya.
MA: Bagaimana perasaan selepas pulang ke tanah air?
AHA: Sebenarnya saya sedih untuk meninggalkan Tanah Suci. Tapi saya berdoa agar dipanggil kembali ke sana satu hari nanti. Saya redha dengan ketetapan Allah dan saya perlu menyambung kewajipan saya sebagai atlet negara.
MA: Selepas berehat panjang, apa perancangan seterusnya?
AHA: Ikutkan perancangan awal pulang dari Umrah saya akan terus berlatih tapi berikutan masalah kesihatan membuatkan saya terpaksa menunggu sampai betul-betul sihat. Fokus sekarang adalah untuk kembali menjalani latihan.
MA: Mungkin ada terlintas untuk menunaikan Haji tahun ini?
AHA: Hasrat untuk mengerjakan Haji memang ada tapi mustahil untuk melakukannya tahun ini. Insya-Allah kalau ada masa dan rezeki saya berharap sangat untuk melaksanakan secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment