Followers

Sunday, May 15, 2011

Azam raih emas Olimpik 2012

Azam raih emas Olimpik 2012
Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2011/05/15

Athiah Ilyana melihat betis Azizulhasni selepas pembedahan.
Athiah Ilyana melihat betis Azizulhasni selepas pembedahan.
Azizulhasni turut berdoa ketika umrah mohon hasrat jadi kenyataan

BERPELUANG mengerjakan umrah buat pertama kalinya bulan lalu, bintang lumba basikal negara, Azizulhasni Awang mengambil kesempatan berdoa supaya hasrat meraih pingat emas buat negara di Sukan Olimpik 2012 termakbul.

Jaguh keirin itu berpeluang mengerjakan umrah bersama isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat serta ahli keluarga yang lain, selepas selesai mengadakan majlis persandingan di Perak.
“Sebenarnya setiap kali berdoa pun, saya tidak pernah ketinggalan menyelitkan supaya dapat meraih pingat di Olimpik nanti. Semasa di Tanah Suci juga, saya tidak putus-putus berdoa supaya hasrat saya itu dimakbulkan,” katanya yang kini berimej botak selepas pulang daripada mengerjakan umrah.
Bukan saja mahu menghadiahkan pingat di Olimpik, pelumba berusia 23 tahun itu turut mendedahkan hasrat supaya dikurniakan zuriat dalam masa terdekat.

Berkongsi pengalaman selama dua minggu mengerjakan umrah, Jijoe berkata laluannya semasa mengerjakan ibadat dipermudahkan biarpun bilangan yang mengerjakan umrah ramai seakan-akan pada musim haji.

“Jika melihat betapa ramainya orang di sana, saya ingat pasti sukar bagi saya melengkapkan umrah kerana perlu bersesak-sesak.

“Namun sebaliknya berlaku, apabila laluan saya untuk melakukan ibadat sepanjang masa dipermudahkan tanpa mengalami kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Mengimbau kembali kemalangan lebih dua bulan lalu sehingga dijulang sebagai wira apabila aksi dramatik berkayuh hingga ke garisan penamat dengan serpihan kayu tertusuk di betisnya, Jijoe berkata selepas insiden itu dia mengambil kesempatan untuk berehat selepas musim perlawanan yang panjang, tahun lal

“Saya mengisi masa kelapangan dengan membaca buku, berenang dan berjinak-jinak dengan permainan golf. Selain itu, saya sibuk dengan menguruskan majlis persandingan dan kemudian barulah mengerjakan umrah,” katanya.

Biarpun sudah memulakan latihan perlahan-lahan sejak awal bulan ini, Jijoe berkata dia masih perlu melakukan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN) dua sesi (pagi dan petang) pada setiap hari.

Jijoe yang akan kembali ke Melbourne menyertai latihan pelumba trek lain pada penghujung bulan ini berkata perlumbaan antarabangsa pertamanya selepas ini ialah Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 yang akan berlangsung di Shenzhen, China pada 12 sehingga 23 Ogos ini.

Bakal menyambung pelajaran Sarjana Muda Sains Sukan untuk tahun kedua di Universiti Deakin, Jijoe bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran di China nanti.

“Saya tidak pernah menyertai Universiade dan tidak tahu persaingan peserta nanti tetapi saya tahu kebanyakan pelumba Australia juga penuntut universiti. Lagipun Universiade nanti akan menjadi medan pemanas untuk saya menjelang musim Piala Dunia yang baru,” katanya.

1 comment:

Bidin@pidin said...

gudluck azizul...aku doakn semoga impian menjadi kenyataan.seluruh rakyat malaysia bersama menyokong perjuangan kau.teruskan semangat membara yang ada dalam diri sekarang nie.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...