Followers

Saturday, June 25, 2011

Azizulhasni elak trauma di Shenzen

Azizulhasni elak trauma di Shenzen


Khoo Chai Lin (kiri), Low Wee Wern, Mohd. Zaquan Adha dan Azizulhasni Awang pada majlis pelantikan mereka sebagai duta produk kesihatan, Herbalife di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan serpihan kayu tertusuk di betis kirinya, jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang berdoa, kepulangan semula ke trek buat kali pertama, Ogos ini tidak akan mencetus perasaan trauma.

Pelumba muda yang sinonim dengan jolokan The Pocketrocketman itu bakal menjejakkan kaki ke trek lumba buat kali pertama sejak mengalami kemalangan pada Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari lalu dengan bertanding pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China dari 12- 23 Ogos ini.

Azizulhasni, 23, menjelaskan, dia tidak pernah terfikir tentang perasaan trauma hendak berlumba kerana semangatnya untuk kembali beraksi terlalu berkobar-kobar selepas lebih enam bulan berehat, namun pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui, keadaan mungkin berbeza apabila dia benar-benar menjejakkan kaki ke trek.

"Saya tidak pernah terfikir tentang trauma atau takut hendak kembali berlumba kerana yang bermain di fikiran saya sekarang cuma perasaan tidak sabar dan berkobar-kobar mahu beraksi, sudah terlalu lama saya tidak berlumba.

"Bagaimanapun saya tidak tahu apakah yang akan saya rasai apabila kembali ke trek buat kali pertama nanti, selepas kemalangan di Manchester, saya tidak pernah langsung turun ke trek. Harap, saya tidak akan trauma,'' ujar Azizulhasni ketika ditemui pada sidang akhbar sempena pelantikannya sebagai duta produk suplemen, Herbalife semalam.

Menurut Azizulhasni, biarpun sudah kembali berkayuh sejak kemalangan di Manchester, namun dia hanya berlatih bersama pelumba lebuh raya negara di bawah bimbingan jurulatih, Graham Seers dan tidak pernah berkayuh di atas trek, apatah lagi dalam perlumbaan.

Katanya lagi, dia juga masih menjalani rawatan pemulihan dan fisioterapi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN), malah belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun dia sudah tidak merasa sakit dan sedia untuk membawa cabaran pada temasya Universiade.

Selepas mendapat lampu hijau untuk kembali berlumba, sasarannya di China bukan pingat atau rekod tetapi sekadar mengukur sejauh mana tahap prestasi selepas enam bulan berehat, sebelum menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran lebih besar dengan kelayakan Sukan Olimpik 2012 akan memulakan kempen, Oktober ini.

"Saya akan beraksi dalam empat Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Dunia sebelum Sukan Olimpik. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran di Universiade kerana ia hanya medan untuk mengukur keupayaan saya dan kembali mendapat rentak kayuhan,'' katanya lagi, yang juga belum pasti apakah acara yang akan disertai di China nanti.

Azizulhasni akan kembali ke Melbourne, bulan depan untuk kembali berlatih bersama jurulatih, John Beasley dan rakan-rakan berbasikal trek yang lain.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Aziziulhasni antara lima atlet kebangsaan yang dilantik menjadi duta Herbalife bersama bintang bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak, ratu renang, Khoo Cai Lin serta bintang muda skuasy, Low Wee Wern.

Mereka diperkenalkan secara rasmi oleh Naib Presiden dan Pengarah Urusan Herbalife Malaysia, Singapura dan Brunei, Datuk Ronie Tan di ibu negara semalam.

Kata Azizulhasni, menyedari betapa pentingnya pengambilan suplemen untuk atlet, dia tidak teragak-agak menyambar peluang sebaik ditawarkan oleh Herbalife menjadi duta produk mereka.

Pandangan yang sama turut diberikan oleh Zaquan, Cai Lin Dan Wee Wern, yang berharap pengambilan suplemen berkualiti Herbalife mampu membantu mereka meningkatkan prestasi dan bersaing di lapangan yang kompetitif.

"Buat masa ini kami mempunya lima atlet sebagai duta Herbalife tetapi dalam masa terdekat, kami mensasarkan sekurang-kurangnya melantik lapan hingga 10 atlet. Kami masih dalam proses rundingan dengan penyerang bola sepak kebangsaan Safee Sali.

"Selain membantu atlet kebangsaan yang sudah mempunyai nama, kami juga bekerjasama dengan persatuan sukan, terutama di peringkat negeri dengan menaja suplemen untuk atlet muda dari umur 12 hingga 16 tahun,'' jelas Ronie.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...