Followers

Monday, February 23, 2009

Awas Hoy

MEGAH...Azizulhasni bersama trofi anugerah Bintang Sukan
Buletin Utama 2008.

AKHIRNYA, bintang basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang kini boleh menilai sejauh mana tahap keupayaannya apabila berpeluang menentang jaguh dunia dari Britain, Chris Hoy di Kejohanan Dunia di Pruskow, Poland, pada 25-31 Mac ini.

Selepas cemerlang dengan mengungguli Jersi Putih UCI (Persekutuan Basikal Antarabangsa), selaku pelumba keirin nombor satu dunia, Azizul kini berpeluang cerah mencipta sejarah dalam arena basikal negara.

Kehadirannya kini menjadi satu fenomena dan dilihat sebagai pesaing utama yang perlu diberi perhatian justeru beliau sedar usaha keras perlu dilakukan terutama ketika gah di takhta ranking dunia.

Dia mengumpul 24 mata hasil kejayaan mengungguli dua kejohanan Piala Dunia dalam acara keirin di Melbourne dan Beijing.



“Sasaran utama adalah untuk menyerlah di Poland. Saya akan berusaha untuk memantapkan lagi kayuhan saya tambahan pula tahap prestasi saya masih belum sampai ke kemuncak.

“Saya perlu memberi fokus yang lebih jitu terhadap setiap aspek terutama di segi teknik kayuhan,” katanya.

Azizul yang dipilih menerima Anugerah Bintang Sukan Buletin Utama, semalam turut mengulas mengenai peluangnya untuk merangkul emas bukan satu yang mustahil dan ianya sentiasa ada meskipun Hoy turut sama bersaing

“Apa yang membezakan saya dan Hoy adalah pengalaman dan masa. Dia sudah berkayuh sebelum saya memasuki bidang ini dan kini bila saya salah seorang daripada pesaingnya dia masih lagi meneruskan perjuangan.

“Masa adalah satu yang penting yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi. Semuanya itu perlu dilakukan selangkah demi selangkah,” katanya.

Tanpa boleh mengulas mengenai sejauh mana keupayaan lawan, Azizul dijangka akan bertemu Hoy di Kejohanan Dunia buat kali kedua selepas di Olimpik Beijing, tahun lalu, biarpun pemenang tiga pingat emas itu gagal menamatkan perlumbaan di Kejohanan Piala Dunia, Copenhagen, minggu lalu kerana terjatuh.

Pelumba yang Scotland berusia 32 tahu itu layak beraksi di Kejohanan Dunia atas tiket juara dunia biarpun tidak menyertai siri Piala Dunia yang dipertandingkan bermula Oktober lalu.

Apapun, anak muda berusia 21 tahun dari Dungun, Terengganu, itu berkata dia sentiasa bersedia kerana sedar kemenangan atau kekalahan adakalanya bergantung kepada nasib pada hari perlumbaan.


Harian Metro-19 Feb 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...