Followers

Monday, February 23, 2009

Azizulhasni bintang Sukan TV3


AZIZULHASNI (duduk) bergambar bersama kakitangan unit sukan TV3 di Sri Pentas semalam.



JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang sudah mula membayangkan satu lagi gelaran dalam genggamannya bulan depan.

Selepas membuktikan kehebatannya dengan dua kejayaan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Piala Dunia baru-baru ini, pelumba keirin No. 1 dunia itu bakal berdepan ujian sebenar apabila menyertai Kejuaraan Dunia di Pruskow, Poland dari 25 hingga 29 Mac depan.

Bukan niatnya mahu mendabik dada, namun andai prestasi semasa menjadi ukuran, Azizulhasni, 21, mempunyai sebab untuk bersikap optimis dengan peluangnya muncul juara pada acara pecut di kejohanan utama itu nanti.

"Setiap kejohanan pastinya ada peluang untuk menang, namun semuanya bergantung kepada prestasi semasa dan situasi pada hari saingan itu nanti," kata Azizulhasni selepas dinobatkan sebagai Bintang Sukan Buletin Utama TV3 2008 semalam.

"Saya bukannya mahu mendabik dada, tapi buat masa ini saya rasa saya sudah bersedia untuk mengharunginya. Saya akan cuba memantapkan lagi kayuhan selain meningkatkan lagi motivasi serta konsistensi dalam diri."

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul juara keirin buat kali kedua daripada lima pusingan Trek Piala Dunia bulan lepas, selain turut menjuarai acara sama pada pusingan kedua di Melbourne, Australia, November tahun lalu.

Begitupun, pelumba yang diberi gelaran Flying Machine oleh media antarabangsa itu harus melepasi halangan daripada pencabar utamanya, Chris Hoy dari Britain.

"Saya jarang berlumba dengan Hoy kecuali ketika tewas kepadanya pada suku akhir di Olimpik Beijing tahun lepas," kata Azizulhasni.

"Dia memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan telah mencatat banyak kejayaan berbanding saya. Malah dia telah berlumba sejak saya di bangku sekolah lagi.

"Bagaimanapun semuanya bergantung kepada keyakinan dan sedikit nasib pada perlumbaan itu nanti," tambahnya lagi.

Pada majlis semalam, kehebatan Azizulhasni sekali lagi diiktiraf apabila dia dianugerahkan selaku Bintang Sukan Buletin Utama 2008 anjuran unit sukan syarikat penyiaran swasta TV3 buat kali kelima semalam.

Pengiktirafan itu berdasarkan kejayaan cemerlangnya sepanjang tahun 2008 termasuk memenangi acara 200m keirin di Kejohanan Trek Asia serta muncul pelumba Asia pertama beraksi pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik di Beijing.


-Kosmo-19 Feb 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...