Followers

Wednesday, March 25, 2009

Azizulhasni berpeluang

Azizulhasni berpeluang


MOHD AZIZULHASNI AWANG


KUALA LUMPUR – Peluang jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang untuk membawa pulang pingat pertama dalam sejarah sukan berbasikal Malaysia daripada Kejohanan Trek Dunia yang bermula di Pruskow, Poland hari ini tampak cerah berikutan ketiadaan jaguh-jaguh handalan dari Britain.

Penarikan diri juara keirin Sukan Olimpik Beijing tahun lalu, Chris Hoy kerana cedera memberi ruang yang lebih baik buat Azizulhasni untuk melakukan sesuatu yang bermakna.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, ketiadaan Hoy meninggalkan Azizulhasni hanya perlu mengatasi pencabar dari Perancis dan Jerman.

“Memang kita dah tahu Chris tidak bertanding tetapi Azizul masih perlu bekerja keras untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat menerusi acara keirin ini.

“Cukuplah kita letak sasaran realistik untuk Azizul menang pingat saja dulu di kejohanan dunia kali ini kerana jika sasar emas, tinggi sangat harapan yang terpaksa dipikulnya nanti.

“Lagi pun sasaran utama kita adalah Sukan Olimpik 2012 di London. Namun saya percaya, peluang Azizul untuk menang pingat di Poland nanti tetap ada jika strategi menjadi,” katanya.

Pada keirin Kejohanan Trek Dunia kali ini, Azizulhasni kemungkinan bakal dicabar Kevin Sireau atau Gregory Bauge (Perancis), Ross Edgar (Britain) dan Carsten Bergemann (Jerman).

“Walaupun di Beijing dulu, Azizul hanya menduduki tempat ke-10 tetapi dengan persiapan dan kecergasan yang lebih baik kali ini, saya jangka dia mampu menyerlah,” tegas Abu Samah.

Selain bergandingan dengan Josiah Ng dalam acara keirin dan pecut, Azizulhasni juga akan beraksi dalam acara pecut berpasukan bergandingan dengan seorang lagi pelumba negara, Mohd. Rizal Tisin.

Rizal juga akan beraksi dalam acara 1 kilometer ujian masa individu lelaki untuk menjadikan empat acara kesemuanya disertai pelumba negara di kejohanan dunia kali ini.

Malaysia bagaimanapun menarik diri daripada menyertai acara keirin, pecut dan 500m ujian masa wanita selepas Fatehah Mustapha lewat didaftarkan.

Sementara itu selain Hoy (tiga emas), Britain yang memenangi tujuh daripada 10 emas yang ditawarkan di Beijing tahun lalu turut bertanding tanpa Bradley Wiggin (dua emas) dan Geraint Thomas.

Kejohanan Trek Dunia akan bermula hari ini hingga Ahad ini dengan mempertandingkan 19 acara membabitkan lelaki dan wanita.

1 comment:

Fingers of God said...

mr.azizulhasni

may Allah with you.Put Malaysia on top of the world.

caiyuk,caiyuk

smile n cheers

yudi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...