Followers

Sunday, March 29, 2009

Azizulhasni menang perak Kejohanan Dunia



AZIZULHASNI Awang (kiri) bersama Gregory Bauge (tengah) dan pemenang tempat ketiga, Kevin Sireau pada penyampaian hadiah acara pecut Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, semalam. – AFP


KUALA LUMPUR – Satu lagi sejarah baru tercipta apabila jaguh pecut berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berjaya menyumbang pingat perak menerusi acara pecut pada Kejohanan Dunia, semalam.

Selepas Rizal Tisin meraih gangsa menerusi acara 1km ujian masa, kelmarin Azizulhasni memberi kegembiraan berganda buat Malaysia yang tidak pernah menang pingat pada Kejohanan Dunia dalam sejarah lebih 50 tahun sukan lumba basikal negara.

Walaupun bukan pingat emas tetapi ia sudah cukup membanggakan terutama kejayaannya layak ke perlumbaan akhir di samping menewaskan jaguh-jaguh handalan dunia di Pruzskow, Poland ini.

Malah, pencapaian yang ditunjukkan Azizulhasni ini dicipta terlalu awal daripada yang dijangkakan terutama dalam usia yang masih muda dan masih kurang pengalaman.

Cuma nasib sahaja tidak menyebelahinya untuk mencatat sejarah lebih besar semalam kerana Azizulhasni sebenarnya mampu meraih emas jika tidak kerana silap strategi di saringan penentuan.

Selepas tewas saringan pertama, Azizulhasni bangkit untuk memenangi saringan kedua tetapi kecetekan pengalaman menyaksikan dia terpaksa akur dengan kehebatan lawannya dari Perancis, Gregory Bauge yang lebih besar saiz fizikal daripadanya pada saringan ketiga.

Namun, apa jua yang dicapainya, Azizulhasni sudah pun mencipta sejarah menjadi pelumba terbaik dan pertama Malaysia meraih pingat perak dari Kejohanan Dunia ini diikuti Rizal yang meraih gangsa.

Terdahulu di separuh akhir, Azizulhasni menewaskan pelumba Australia yang juga rakan sepelatihnya di Melbourne, Shane Perkins dengan kemenangan mutlak 2-0.

Sepanjang laluannya ke akhir, Azizulhasni turut menewaskan Rizal di pusingan pertama diikuti Gauge di pusingan kedua.

Selepas itu di suku akhir, Azizulhasni menewaskan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Beijing, Ross Edgar dari Britain sebelum menjadikan Perkins mangsa seterusnya.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab ketika diminta mengulas pencapaian Azizulhasni berkata, pelumba negara berusia 21 tahun itu mekar lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Azizul benar-benar telah membanggakan kita. Saya sendiri menganggap perak yang diraihnya itu adalah emas. Ia memang di luar dugaan kita sebenarnya,” kata Abu Samah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...