Followers

Tuesday, August 18, 2009

Usah bimbang prestasi Azizul, Rizal


Kegagalan Azizulhasni Awang (kiri) dan Rizal Tisin mempertahankan emas keirin dan 1km ujian masa lelaki pada ACC di Samarinda, Kalimantan langsung tidak membimbangkan, John Beasley.


SAMARINDA, Kalimantan - Kegagalan dua pelumba elit negara, Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin mempertahankan pingat emas acara keirin dan 1km ujian masa lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di sini langsung tidak membimbangkan ketua jurulatih negara, John Beasley.

Sebaliknya beliau menegaskan kedua-dua pelumba itu kini masih berada di landasan dan berpotensi besar untuk menjadi juara dunia satu hari nanti.

"Saya tidak bimbang pencapaian mereka di sini malah saya anggap kedua-duanya tetap akan menjadi juara dunia tidak lama lagi. Kita sudah tidak jauh daripada matlamat itu dan apa yang perlu dilakukan ialah membuat perancangan terbaik terhadap program latihan mereka selepas ini.

"Memang saya akui, Azizulhasni dan Rizal agak kurang cergas ketika bertanding di ACC ini selepas mencapai kemuncak pada Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland, Mac lalu apatah lagi masing-masing ada komitmen.

"Azizulhasni sedang melanjutkan pelajaran manakala Rizal tidak terus menyambung latihan di Melbourne sejak kembali dari Poland sebaliknya hanya menghabiskan masa di Malaysia. Faktor-faktor ini mengurangkan kecergasan mereka.

"Tetapi saya percaya, kedua-duanya mampu mengembalikan semula kecergasan itu selepas menyambung latihan di Melbourne selepas Hari Raya nanti," ujar Beasley.

Azizulhasni dan Rizal bagaimanapun menebus kegagalan dalam acara keirin dan 1km ujian masa di ACC ini dengan membantu trio pecut berpasukan lelaki meraih emas manakala Azizulhasni mengungguli acara 200m pecut lelaki.

Menurut Beasley lagi, tumpuan skuad berbasikal elit negara selepas ini sudah pasti saingan Siri Piala Dunia, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Sehubungan itu beliau turut bersedia untuk mengetengahkan pelumba-pelumba muda seperti Syamil Baharum, Harrif Salleh, Hafiz Sufian dan pasukan kejar mengejar untuk kejohanan dan temasya sukan tersebut.

"Kita sudah mula memiliki pelumba-pelumba pelapis yang boleh diketengahkan selain Azizulhasni, Rizal, Edrus Yunos dan Fatehah Mustapha. Malah pelumba remaja kita pun sudah menunjukkan peningkatan," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...