Followers

Thursday, November 18, 2010

Kamikaze Azizulhasni berbaloi



Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) meraikan kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng (kanan) yang memenangi emas dan perak dalam acara keirin basikal trek Sukan Asia di Guangzhou, semalam.


GUANGZHOU - Menjulang semangat juang ala pahlawan Jepun, 'kamikaze' akhirnya membawa tuah kepada Azizulhasni Awang apabila dinobatkan sebagai 'raja' keirin Asia selepas mencatat kemenangan 1-2 bersama rakan sepasukan, Josiah Ng pada pertarungan akhir, semalam.

Perlumbaan akhir yang penuh dramatik itu menyaksikan Azizulhasni menyumbang pingat emas kedua negara, manakala Josiah pula meneruskan legasi kecemerlangannya pada Sukan Asia sejak dua temasya lalu apabila membawa pulang sebutir perak selepas kecewa dalam pecut berpasukan.

Kedua-duanya mengakui menanggung perasaan kecewa dan rasa tertekan selepas kecundang dalam acara pecut berpasukan dan 200 meter pecut lelaki yang kesemua gelaran terlepas kepada atlet tuan rumah, China yang mempamerkan persembahan menakjubkan dalam temasya pada kali ini.

''Saya berasa marah, geram, takut dan kecewa sebelum perlumbaan dan semuanya saya pusatkan pada perlumbaan akhir ini. Saya beritahu jurulatih (John Beasley) saya akan buat cara kamikaze. Saya tidak kisah apa akan berlaku kerana saya mahu menang. Kalau kalah sekalipun , saya akan berpuas hati sebab telah mengerah seluruh kudrat dalam acara akhir ini.

''Kepala saya benar-benar lega. Selepas kecewa dalam acara 200 meter pecut, saya rasa sangat tertekan untuk bersaing dalam acara akhir Keirin. Tetapi semua bebanan itu hilang selepas menang pingat emas," kata Azizulhasni yang kelihatan sangat ceria, malah mahu menghadiahkan kemenangannya itu kepada emak, ayah dan isterinya.

Malah, kata Azizulhasni, dia akan mencukur kepalanya sehingga botak sebagai menyempurnakan nazar yang dibuat jika berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara keirin, semalam.

Pada perlumbaan akhir acara keirin, semalam, Azizulhasni yang memulakan aksi paling hadapan sambil diekori Josiah, tidak lagi menoleh ke belakang walaupun ketika memecut di selekoh 200 meter terakhir, berlaku pelanggaran pelumba Iran, Mohammad Parash dengan pelumba tuan rumah, Zhang Lei, juara acara pecut 200m sehingga kedua-duanya terbaring di atas lantai veleodrome.

Mengulas perancangannya selepas temasya ini, Azizulhasni berkata, dia akan menumpukan latihan bagi persediaan siri Piala Dunia dalam usaha mencari mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.

Sementara itu, Josiah yang turut meraikan kemenangannya dan rakan sepasukannya itu berkata, dia seperti tidak percaya apabila mereka berjaya mencatat kemenangan 1-2 pada perlumbaan akhir itu.

Kata Josiah, dia dan Azizuhasni turun berlumba tanpa bekalan strategi pada perlumbaan akhir itu, malah jurulatih (Beasley) telah berpesan agar mempamerkan persembahan yang terbaik dan kebetulan kemenangan memihak kepada mereka.

''Kami telah membuktikan bahawa kami adalah yang terbaik. Kami juga membuktikan dapat menangani tekanan yang anda semua mungkin tidak merasai sepenuhnya. Saya benar-benar bangga dengan kejayaan ini. Tidak ada strategi kerana pada saya, kejayaan negara perlu diutamakan," kata Josiah yang masih segar dengan kejayaan meraih emas keirin pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu.

Josiah juga adalah pemenang pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Asia Doha 2006, malah dia juga menang perak pada Sukan Asia di Busan 2002. - Utusan






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...