Followers

Tuesday, November 16, 2010

Ketepi rasa kurang sihat- Metro

Ketepi rasa kurang sihat

AZIZULHASNI Awang mengetepikan rasa kurang sihat yang membelenggunya sejak beberapa hari lalu untuk mara ke separuh akhir acara pecut individu lelaki apabila berjaya menyingkirkan pelumba Iran di Velodrom Guangzhou semalam.

Atlet digelar The Pocket Rocketman itu menampilkan kayuhan bertenaga mencatat 10.781s untuk meninggalkan Varposhti Hassanali sebelum meraih kemenangan kedua dengan catatan 10.928s untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.


Kejayaan itu melegakan jurulatih kebangsaan, John Beasley yang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas perlumbaan itu.

“Dia seorang pakar taktikal yang bagus, saya harap dia mencapai keputusan baik selepas ini.


“Nampaknya dia berada dalam mood untuk bertanding dan melakukan apa yang sepatutnya,” katanya.


Begitupun, hari ini pasti cabaran hebat buat pelajar Universiti Deakin, Australia itu yang perlu bekerja keras pada peringkat separuh akhir sebelum memulakan saringan acara keirin yang menjadi kegemarannya.

Fatehah Mustapa pula terkandas pada suku akhir apabila tewas kepada pelumba Korea Selatan, Kim Wong Yeong dalam kedua-dua saringan sementara Mohd Edros Md Yunos sekadar menduduki tempat ke-11 pada peringkat repecharge acara itu.


Jelas Beasley, masih banyak perlu dilakukan Fatehah andai mahu berada sebaris dengan pelumba terhebat dunia.

“Pencapaiannya semakin baik dan mempunyai kualiti tapi saya sering katakan kepadanya dia perlu melakukan lebih baik daripada itu,” katanya.


Pada masa sama beliau turut berpuas hati dengan persembahan kuartet acara kejar mengejar berpasukan lelaki, yang mempertaruhkan Mohd Rizal Tisin, Mohammad Akmal Amrun, Muhamad Adiq Husainie dan Amir Mustafa Rusli biarpun tewas seawal pusingan pertama kepada kuartet Iran dengan catatan masa 4:18.596.


“Kami perlu bekerja keras selepas ini untuk Sukan Olimpik London 2012, peringkat paling sukar ialah memastikan mereka layak tapi saya yakin ia boleh dilakukan dengan peningkatan prestasi semasa semua pelumba,” katanya

1 comment:

Fingers of God said...

tahniah mate.u make malaysia proud and malaysian falg stand higher and higher.ur dreams in keirin come reality.extreme power.keep up ur gud work..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...