Followers

Sunday, January 25, 2009

Harapan satu suntikan

SUSUK tubuhnya yang kecil sering menimbulkan persoalan kepada pihak lawan. Siapa Mohd Azizulhasni Awang dan dari negara mana pelumba itu datang selepas memberikan impak yang begitu besar dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

“Ramai sering bertanya kepada saya, kenapa saiz tubuh saya yang kecil ini mempunyai ‘enjin’ besar. Jawapannya hanya satu. Semua itu hadir kerana keinginan saya untuk menang serta kemahuan saya sendiri menjalani latihan dengan komited,” jelasnya.

Azizul - nama yang kini cukup dikenali dan mula menjadi sebutan ramai apabila turun bersaing, apatah lagi ketika ini anak muda berusia 21 tahun itu antara nama yang disebut mampu memberi sinar emas ketika Malaysia melancarkan misi memburu kilauan pingat itu di Olimpik London 2012.

Azizul yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas pulang ke Melbourne, Selasa lalu, berkata sudah menjadi kebiasaan dirinya menjadikan harapan orang ramai yang teguh memberi sokongan sebagai perangsang untuk memburu kejayaan “Sokongan penonton dan orang ramai itulah yang menjadi pemangkin kepada saya. Itulah cara saya memotivasikan diri sendiri.
“Dokongan yang diberikan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk menang dan mengharungi cabaran yang mendatang. Harapan yang diletakkan kepada saya, bukan satu tekanan, tapi suntikan semangat.

“Jika boleh, saya tidak mahu menghampakan harapan orang, justeru, setiap kali turun bertanding, saya mahu menang dan cuba memberikan yang terbaik. Jika sebaliknya berlaku, itu dinamakan adat,” katanya.

Kejayaan Azizul dengan merangkul dua emas pada saingan Piala Dunia di Melbourne dan Beijing baru-baru ini, membuktikan pelumba negara berada dalam kelas tersendiri.

“Sekarang ini ramai sudah mengenali pelumba negara dan menghormati kita. Ketika saya turun bertanding di Beijing pada saingan Piala Dunia lalu, ramai yang menjerit dan melaungkan nama ‘Awang’. Awang itu sendiri mengikut fahaman masyarakat China di sana membawa maksud, lelaki.

“Penonton di sana juga cukup mengenali saya dan ada di antara mereka yang menyuruh saya melakukan ‘wheelie’ yang kini menjadi identiti saya, selepas perlumbaan,” kata Azizul yang mengakui dapat berasakan peningkatan ketara sejak berkampung di Melbourne di bawah bimbingan John Beasley.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 48, Dungun, Terengganu.

Menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun sebelum terpilih melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dengan apa yang dirangkul oleh anak muda itu termasuk menduduki ranking pertama dunia dalam acara keirin ketika berusia 21 tahun, Azizul masih lagi bergelut untuk mendapatkan penajaan.

Kejayaannya itu bagaimanapun masih belum dapat membuka mata ramai pihak terhadap sukan berbasikal di negara ini.

Memang dia sedar akan permasalahan itu dan sejak mula berkayuh, Azizul menjelaskan harapannya terhadap sukan basikal itu terlalu tinggi.

“Saya mahu menjadikan sukan basikal sebagai sukan nombor satu di negara itu. Saya rasa ia bukan satu yang mustahil kerana kita mengenali basikal sejak kecil lagi.

“Kerana itulah saya, berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menang dan terus menang kerana mahu membuka mata semua pihak betapa acara basikal mampu menaikkan nama negara,” katanya yang menyambut ulang tahun, 5 Januari lalu.

Katanya, di sebalik bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan Beasley, Azizul mengakui, segala hasil yang diraihnya kini banyak di dorong keluarga dan juga buah hati tersayang, Athiah Ilyana Abdul Samat (Tya).

“Kini saya dapat merasai memang ada kebenarannya kata-kata orang lama bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki di belakangnya ada seorang wanita.

“Tya banyak membantu saya. Memberi sokongan dan dorongan. Dia sentiasa memberi kata-kata semangat. Tidak pernah jemu membantu ketika saya berdepan dengan sebarang masalah.

“Dia juga seorang yang memahami kerjaya saya sebagai seorang atlit, biarpun ada ketikanya kami berselisih faham kerana saya dikatakan terlalu memikirkan latihan. Tapi semua itu bukanlah masalah besar.

“Banyak persamaan antara kami yang menjadikan ikatan itu semakin kukuh. Biarpun saya di Melbourne dan Tya di Malaysia, hubungan jarak jauh ini tidak pernah mendatangkan masalah. Kami sentiasa berhubung, sama ada melalui telefon ataupun dalam lambang sembang (Yahoo Messenger),” katanya.

Mula mengenali Tya, ketika di gimnasium Fitness First tahun lalu, perhubungan yang mendapat restu kedua-dua belah pihak itu kini semakin kukuh apabila Tya berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Geelong Deakin, Australia dalam jurusan arkitek.

“Walaupun kami semakin dekat, itu bukan alasan untuk kami selalu berjumpa. Saya perlu menjalani latihan mengikut jadual yang ditetapkan dan Tya faham mengenai itu,” katanya.

Tya yang berlepas bersama-sama Azizul ke Melbourne, Selasa lalu menjelaskan perbezaan umur bukanlah satu faktor penting kerana Azizul seorang yang matang daripada usianya.

Namun, buat masa ini Tya yang akan menjangkau usia 23 tahun itu berkata, dia belum lagi memikirkan untuk menamatkan hubungan itu dengan ikatan perkahwinan kerana perlu memberi tumpuan terhadap pelajaran selain terus mengharapkan Azizul berjaya dalam kerjayanya terlebih dulu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...