Olimpik Beijing sangkal andaian sukan Malaysia kini meniti era kemerosotan
ANDAI mata kita menumpu ke dalam bola kristal - segala-galanya menceritakan betapa positif arah tuju sukan negara sepanjang musim 2008 dan impak itu dijangka berterusan apabila 'keluarga sukan' menyambut tahun baru, esok.
Ibarat pepatah ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ setiap kegagalan harus dianggap akan memberi ruang untuk berjaya dan kepada atlit yang cemerlang sepanjang musim ini kita ucapkan tahniah.
Daripada babak menarik di Sukan Olimpik Beijing sehingga dua jaguh sukan - Nicol Ann David dan Lee Chong Wei - bergelar Datuk dan kemunculan anak muda dari Terengganu, Azizulhasni Awang yang gah membakar trek lumba basikal, jelas sukan tanah air membawa sinaran sepanjang musim ini.
Kejayaan Chong Wei memenangi pingat perak Olimpik jelas penghargaan tertinggi dituai atlit negara sebagai kebanggaan rakyat walaupun tewas kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China dalam final dan terlepas peluang menjadi jutawan segera.
Apapun, aliran sukan secara keseluruhan menampakkan kemajuan buat mengukur nilai ahli sukan kita yang kini ada bekalan meniti ke medan perjuangan peringkat Asia dan dunia.
Sukan lain seperti bowling dan memanah turut menceriakan dengan beberapa deretan keputusan terpuji tetapi ini tidak bererti Majlis Sukan Negara (MSN) harus bersenang lenang tanpa tekanan bagi mencanang kejayaan berikut tahun ini.
Antara disiplin yang boleh ditakrif sebagai kejayaan baru adalah dalam acara trek basikal dengan pelumba negara menunjukkan taring di peringkat dunia, khasnya Azizulhasni yang lebih dikenang memberi saingan getir kepada jagoan dunia, Chris Hoy dari Britain dalam suku akhir acara pecut di Sukan Olimpik, Ogos lalu.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini turut menunjukkan kehebatannya dalam acara pecut apabila meraih pingat emas keirin pada kejohanan Piala Dunia di Melbourne November lalu.
Ini menjelaskan program padu serta latihan di bawah pengendalian John Beasley di Australia membutirkan hasil dan jika trend sama serta aksi konsisten diteruskan kita boleh menaruh harapan acara trek mampu membutirkan pingat di Sukan Olimpik 2012 di London.
Sukan Olimpik di Beijing setidak-tidaknya menyangkal andaian bahawa sukan Malaysia meniti era kemerosotan. Dengan penyertaan 33 atlit ia adalah jumlah terbesar kontinjen beraksi dalam temasya ini.
Nicol terus garang mengharumkan nama negara dengan menguasai gelanggang skuasy yang seperti miliknya. Dengan rekod 10 gelaran berturut-turut serta kedudukan selaku pemain wanita nombor satu dunia dalam ranking Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA), anak muda dari Pulau Pinang itu memintas rekod pencapaian juara dunia lima kali, Sarah Fitz-Gerald dari Australia yang menduduki ranking nombor satu selama 24 bulan mulai November 1996.
Dalam rasa ceria kejayaan di Olimpik serta atlit lain, bola sepak - acara popular di negara - terus memalit duka dengan nasib yang belum berubah tanpa kemajuan positif.
Keaiban dalam Piala Suzuki AFF di Thailand, awal bulan ini menceritakan ‘gelora ganas’ yang terus melanda sukan ini.
Di bawah kepimpinan baru Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, negara mengorak langkah menyusun program sukannya dengan tumpuan utama kepada Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel.
Namun, dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global, sukan negara mungkin akan turut merasai bahangnya kerana sumber kewangan yang terhad dan Majlis Sukan Negara (MSN) pasti akan lebih ‘kedekut’ dalam pemberian bantuan.
2009 dijangka lebih sengit dan dalam situasi serba terhad, atlit negara berdepan cabaran besar untuk mencapai lebih banyak kejayaan besar dan bermakna.
2 comments:
eppy besday keirinboy world championship
tanx lot abg din&kak wan
Post a Comment