Followers

Wednesday, October 14, 2009

Intai emas Olimpik pertama negara

UTUSAN: Pernah tak anda melalui pengalaman pahit atau manis sejak duduk di Melbourne? Bagaimana menyesuaikan diri sebelum dan selepas menjadi bintang sukan. Adakah rasa sukar berada di khalayak umum?

AZIZULHASNI: Saya amat suka bergaul dengan orang ramai dan saya suka membuat kenalan baru. Setiap kali saya menyertai satu-satu kejohanan, saya sentiasa dikenali sebagai seorang yang peramah sehingga di kejohanan di Colombia baru-baru ini, media di sana menggelarkan saya seperti penyanyi pop.

Bagi saya walaupun telah berada di tahap tertinggi, karakter diri saya tidak pernah berubah.

Saya lebih cenderung berpijak di bumi nyata dan tidak pernah lupakan asal usul saya.

Walaupun ada sesetengah pihak kurang senang dengan karakter saya yang terlalu peramah tapi saya rasa inilah yang tidak membuatkan saya hanyut dengan pujian dan kejayaan.

Pengalaman pahit pula adalah ketika saya tidak dapat dan amat jarang pulang ke Malaysia. Masa untuk diluangkan bersama keluarga tercinta amatlah singkat.

Keluarga amat penting bagi saya. Merekalah sumber inspirasi saya. Namun mereka faham saya adalah atlet dan perlu berkorban untuk negara.

Kebelakangan ini ramai kaum kerabat keluarga saya meninggal dunia dan saya tidak dapat pulang. Itu yang amat menyedihkan.

Pengalaman manis pula, saya sentiasa dikenali ramai. Saya sentiasa dijemput untuk ke berlumba di pelbagai kejohanan dan penampilan saya dibayar.

Itu adalah penghargaan untuk diri saya. Apabila berlumba di negara lain, saya sentiasa disukai ramai menerusi karakter dan juga aksi saya dalam perlumbaan.

Dari situ Malaysia juga dikenali oleh ramai orang di luar sana yang sebelum ini tidak pernah terfikir akan kehadiran negara kita.

Pingat perak yang saya menangi di kejohanan dunia Mac lalu juga adalah pengalaman paling manis pada saya. Lumba basikal adalah sukan yang amat sukar dan kini saya sudah berjaya memenangi pingat perak.

Nama saya sudah tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian ini.

Bayangkan dahulu, atlet lumba basikal ke kejohanan Asia pun sukar untuk menang dan di kejohanan dunia kita mungkin ditertawakan orang ramai. Namun siapa sangka sekarang.

Apakah impian peribadi Azizul dalam basikal, belajar dan sebagai anak kepada keluarga sendiri atau keluarga angkat?

AZIZULHASNI: Cita cita saya amat tinggi, setinggi langit di angkasa. Dalam basikal, saya bukan sahaja mahu emas pertama di Olimpik.

Saya juga mahu dikenali sebagai juara dunia dan saya juga ingin sukan ini menjadi sukan utama di Malaysia. Saya yakin semua orang akan suka sukan berbasikal tapi hanya perlu sedikit gelombang penggerak.

Apa yang saya nampak di Malaysia, kalau seseorang buat dan berjaya, yang lain akan ikut. Harap basikal dapat gantikan aksi rempit yang mengundang banyak keburukan.

Dalam pembelajaran pula, walaupun sibuk dengan karier atlet, saya amat berharap dapat menamatkan pelajaran di tahap paling tinggi.

Dari kecil, keluarga berharap saya berjaya dalam pelajaran. Insya-Allah sebagai anak daripada dua keluarga, apa yang saya mahu dan harapkan adalah dapat membahagiakan mereka, membuatkan mereka gembira sentiasa. Bagi saya mereka lebih utama daripada diri saya sendiri.

Walaupun sentiasa sibuk, keluarga sentiasa dalam ingatan. Merekalah yang membuatkan saya lupa tentang penat lelah dan sakit ketika latihan.

Merekalah membuatkan saya bangun dari jatuh dan merekalah yang sentiasa berpihak kepada saya. Jauh di mata dekat di hati. Jutaan terima kasih saya kepada keluarga tercinta.

Bagaimana dengan pencabar-pencabar yang perlu diberikan perhatian ketika ini terutama pelumba seperti juara Olimpik, Chris Hoy dari Britain?

AZIZULHASNI: Chris Hoy adalah pelumba yang sangat berpengalaman. Sejak Sukan Komanwel di Kuala Lumpur lagi, beliau sudah beraksi di mana ketika itu saya masih lagi budak hingusan dan belum berkecimpung dalam arena basikal ini.

Jarak pengalaman kami amat jauh sekali. Beliau juga salah seorang pelumba yang mempunyai nilai psikologi yang tinggi. Malah dengan Britain menyediakan peruntukan yang amat besar dalam pembangunan sukan mereka berbanding negara-negara lain, atlet mereka mendapat lebih sokongan dan teknologi yang termoden dan canggih.

Sebagai contoh, Britain menghasilkan basikal untuk atlet negara mereka di mana basikal itu tiada lagi dalam pasaran. Malah mereka juga mereka-cipta topi keledar khas untuk digunakan ketika Sukan Olimpik Beijing tahun yang mana mempunyai ciri-ciri aerodinamik yang tinggi.

Impian saya memang untuk tewaskan dia tetapi kami amat jarang dapat berlumba bersama. Saya harap dapat berlumba dengannya pada perlumbaan Piala Dunia Klasik di Manchester hujung bulan ini untuk menilai jurang keupayaan antara kami.

Dalam basikal trek, semua pelumba sama dan tidak boleh dipandang rendah dan remeh.

Tiada istilah senang menang dalam sukan ini. Mungkin disebabkan saya banyak memenangi kejohanan di peringkat dunia saban hari, ramai rakyat malaysia menyangka makin mudah untuk saya memang. Itu silap kerana sebenarnya amat sukar sekali. Saya ulang sekali lagi, berlumba di peringkat dunia amat sukar sekali.

* Esok bahagian akhir

1 comment:

Dungun Cycling Team said...

Teruskan usaha Joe....!!!! Anak anak DCT begitu bersemangat bila membaca atikal anda paparkan...!!!

Kalau balik Dungun nanti nak mintak Joe bagi ceramah sikit kat anak anak Dungun....tapi kalau boleh free jer...lah....!!!! ( Belanja tea O boleh lah....he.he.he.....!!!

Doa kami moga anda maju jaya....!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...