Followers

Friday, October 16, 2009

Pengorbanan, langkah pertama tentukan kejayaan

Pengorbanan, langkah pertama tentukan kejayaan


TUNJUK ajar John Beasley (kanan) menjadikan Azizulhasni Awang sebagai antara pelumba basikal yang digeruni sekarang.


UTUSAN: Pada diri Azizul, apa kelemahan yang masih perlu diperbaiki lagi dan apa kelebihan yang ada tetapi perlu dipertingkatkan lagi. Adakah akan terus selesa dengan saiz badan yang kecil?

AZIZULHASNI: Bagi saya, masih banyak yang perlu diperbaiki.

Saya seorang yang tidak mudah puas hati dengan apa yang ada. Kita tidak boleh leka kerana arus perubahan sekarang amat cepat.

Negara-negara lain sentiasa mempunyai teknologi terkini dan sistem baru dalam latihan. Jadi saya sentiasa perlu 100 peratus komitmen ketika berlatih dan sentiasa membuat penyelidikan sendiri.

Majoritinya, saya masih perlu memperbaiki banyak lagi dari aspek kayuhan dan juga prestasi peribadi.

Persoalan tentang saiz badan saya, kalau boleh saya memang hendak lebih besar dari sekarang tetapi memang gen badan saya dah macam ini. Jadi saya tak dapat buat apa-apa dengan anugerah dari Yang Maha Esa. Saya amat bersyukur dengan apa yang ada dan setiap yang dijadikan itu ada kelebihannya. Saya amat selesa dengan diri saya sekarang.

Apakah rahsia pemakanan Azizul untuk jaga badan dan cara mengelakkan diri daripada terlibat dengan penggunaan dadah terlarang?

AZIZULHASNI: Saya makan ikut keperluan bukan ikut nafsu. Kurangkan lemak dan minyak. Kadangkala walaupun saya tidak lapar, saya tetap kena makan kerana saya tahu tubuh saya memerlukan tenaga untuk latihan berikutnya.

Untuk menjadi atlet bertaraf dunia, semua benda perlu dijaga dengan terperinci dan tidak boleh diambil mudah. Saya juga meningkatkan pengambilan protein kerana sebagai seorang atlet yang sedang meningkat, protein amat penting untuk otot saya.

Soal dadah terlarang... bagi saya tiada jalan pintas untuk berada di atas dan John (Beasley, Ketua Jurulatih Lumba Basikal) juga selalu mengingatkan kepada kami jangan tertarik untuk mencuba.

John adalah jurulatih yang amat tegas. Beliau tidak suka atlet yang menipu.

Jadi kami dan rakan tidak pernah terlintas untuk mencuba kerana kejayaan adalah berdasarkan apa yang kita laburkan.

Berkenaan (Muhammad) Fauzan (Ahmad Lutfi) saya macam tidak percaya. Tapi bila mengetahui hakikat sebenarnya, saya berasa terkejut dan percaya mungkin berlaku salah faham dalam hal tersebut.

Jadi saya berharap atlet di luar sana, janganlah menggunakan dadah kerana untuk berjaya, tiada jalan pintas.

Nasihat Azizul kepada mereka yang ingin menjadikan ikon sukan.

AZIZULHASNI: Kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi ikon supaya menghargai masa dan sentiasa memberi 100 peratus komitmen dalam apa yang dilakukan... tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini jika kita berusaha dan percaya.

Pengalaman dan kejayaan saya boleh dikongsi bukan sahaja oleh kalangan atlet tapi juga mungkin pelajar yang ingin berjaya dalam pelajaran.

Untuk berjaya, pengorbanan adalah sesuatu yang amat penting. Untuk berada di atas, kita perlu bermula dari bawah.

Perjalanan ribuan batu bermula dengan langkah pertama dan yang penting, tiada apa yang mustahil.

Siapakah pihak atau orang paling penting di belakang kejayaan Azizul ketika ini?

AZIZULHASNI: Keluarga adalah yang pertama. Kemudian Tya (Athiah Ilyana Abdul Samat) dan keluarganya, diikuti rakan-rakan termasuk peminat dan penyokong saya.

Tidak lupa juga kepada Rozimi Omar, jurulatih pertama saya dahulu. Terima kasih kerana melatih saya sejak dari hingusan lagi. Terima kasih juga kerana memarahi saya bermain papan luncur dan sentiasa tidak penat dengan kerenah saya yang amat nakal dahulu.

Terima kasih juga kepada arwah bapa angkat saya, Mustafa Ngah, ayahanda tercinta yang banyak memberi sokongan kepada saya sebelum beliau menghembus nafas terakhir.

Juga penaja saya First Endurance Malaysia, Nike Malaysia, Phiten Malaysia, Ogk Kabuto Japan dan Oakley Malaysia.

Juga tidak lupa kepada Majlis Sukan Malaysia (MSN), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Berbasikal Daerah Dungun dan Terengganu.

Tidak lupa kepada Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah MSN) selaku bapa angkat saya yang banyak memberi bantuan selain bimbingan daripada Menteri Belia dan Sukan kita yang amat cakna, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

1 comment:

Dungun Cycling Team said...

Kau insan yang terlalu istimewa bagi kami, Kau juga anugerah dari Allah untuk anak anak muda agar lebih bersemangat dalam sukan berbasikal ini.

Anda menjadi Inspirasi Abadi bagi kami anak anak Dungun Cycling Team / Persatuan Berbasikal Dungun...!!!

Moga anda terus maju jaya....!

Wasallam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...