Followers

Friday, August 6, 2010

Azizul ketuai buru emas

PETALING JAYA - Pelumba sensasi basikal negara, Azizulhasni Awang mengetuai 11 pelumba negara yang akan menggalas misi memburu pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober ini.

Selain Azizul, mereka yang turut tersenarai ialah Mohd. Rizal Tisin, Josiah Ng, Idrus Md Yunus dan Akmal Amrun dalam acara trek.

Selebihnya acara lebuh raya yang membariskan Sharul Mat Amin, Mohd. Adiq Husainie Othman, Annuar Manan, Amir Mustafa, Yusrizal Yusof serta Mohd. Arif Salleh.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, senarai pelumba ke New Delhi telah ada dan kini persiapan untuk menjulang kejuaraan sedang giat dilakukan.

"Kami telah mengenal pasti pelumba yang akan beraksi dan senarai ini adalah tetap dan tidak boleh diubah.

"Ketika ini, kebanyakan daripada mereka sedang menjalani latihan dekat Melbourne di bawah bimbingan John Beasley dan mereka akan terus ke New Delhi dari sana," katanya di sini, semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi (LTdL), Mohamed Salleh.

Menyentuh perkembangan latihan skuad negara di Melbourne, Abu Samah menjelaskan, setakat ini terdapat lima pelumba berlatih di sana manakala Annuar Manan pula berada di Eropah dan akan menyertai yang lain pada September ini.

"Cuaca di sana begitu sejuk, namun itu tidak menganggu persiapan latihan para pelumba malah kita turut mengambil bahagian dalam satu perlumbaan di sana.

"Hasilnya begitu memuaskan terutama sekali Adiq," jelas Abu Samah.

Selain itu, Abu Samah memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi projek pembangunan sukan lebuh raya.

Peruntukan ini berikutan kejayaan siri LTdL yang mana Malaysia bukan sahaja unggul mempamerkan bakat tempatan, malah hebat dari segi penganjuran.

Katanya, dana itu bakal digunakan untuk persiapan dan latihan untuk memburu pelbagai kejayaan.

"Daripada jumlah itu, kita gunakan sebanyak 300 ribu untuk mengadakan Grand Prix lima peringkat iaitu di Kedah, Johor, Terengganu, Sarawak dan Selangor.

"Kita akan bagi mata serta RM7,000 kepada setiap pelumba yang menang ," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed berkata, LTdL tahun depan bakal menjadi satu lagi penganjuran terbaik buat negara.

"Kecemerlangan penganjuran lalu telah terbukti apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memuji kita penganjur terbaik.

"Oleh itu, kita mahu tahun hadapan, penganjuran yang dilakukan lebih baik agar mampu menarik beberapa pasukan yang lebih profesional menyertainya," jelasnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...