Followers

Sunday, February 21, 2010

Azizulhasni tepati ramalan atlet terbaik Anugerah SAM


PETALING JAYA - Jaguh lumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang dipilih atlet terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus 2009, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan pemenang pingat emas acara keirin Piala Dunia 2009 di Beijing, China itu membawa pulang RM10,000.

Ibu Azizulhasni, Selamiah Yong mewakilinya menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azizulhasni yang kemudiannya dihubungi secara langsung dari Melbourne, Australia memanjatkan kesyukuran dengan pemilihannya sebagai pemenang anugerah tersebut.

Kata Azizulhasni, anugerah SAM merupakan satu pengiktirafan besar kepadanya, sekali gus membakar semangatnya untuk terus berjuang dalam sukan kegemarannya itu.

"Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir pada majlis ini kerana menjalani latihan di Melbourne. Kalau boleh, saya sememangnya ingin hadir pada majlis ini.

"Namun begitu, ibu saya, Selamiah Yong telah hadir di majlis ini bagi mewakili diri saya.

"Anugerah ini satu yang besar kepada diri saya dan ia meningkatkan lagi semangat saya untuk memberi yang terbaik di masa depan.

"Terima kasih kepada semua pihak dan tidak lupa kepada keluarga serta isteri yang telah banyak menyuntik semangat kepada saya selama ini," kata Azizulhasni, semalam.

Dalam pada itu, Selamiah yang ditemui pada majlis tersebut berkata, dia berbangga apabila anaknya dipilih sebagai atlet terbaik SAM 2009.

Katanya, anugerah tersebut pastinya akan membakar lagi semangat Azizulhasni untuk terus mencipta kegemilangan pada masa akan datang.

"Dia (Azizulhasni) seorang yang gigih dan akan melakukan apa yang disukainya dengan bersungguh-sungguh.

"Saya berharap dia akan mencapai cita-citanya selama ini iaitu mencipta kegemilangan di Sukan Olimpik akan tercapai.

"Pesan saya kepadanya, teruskan usaha dan jangan lupa diri. Kami sekeluarga akan terus memberi sokongan kepadanya," kata Selamiah.

Dalam pada itu, wartawan Kumpulan Utusan, Shahril Nizam Abdullah dari akhbar Kosmo! muncul pemenang Anugerah Kewartawanan Sukan SAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi laporan khas terbaik.

Kemenangan tersebut membolehkannya membawa pulang RM7,000.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...