Followers

Sunday, February 21, 2010

Azizulhasni tepati ramalan awal



MUHYIDDIN menyampaikan replika cek kepada ibu Azizulhasni, Selamiah Yong pada majlis anugerah SAM-100Plus di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.


SEPERTI diramal, jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang muncul selaku pemenang Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2009 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.

Azizulhasni dipilih meraih anugerah tersebut menerusi undian yang dijalankan sepenuhnya oleh ahli-ahli SAM setelah enam atlet disenarai pendekkan dengan kerjasama dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Sepanjang penampilannya pada tahun 2009, pelumba berusia 22 tahun itu telah meraih pelbagai gelaran di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian terbaiknya ialah meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia IV di Beijing, China.

Azizulhasni turut meraih emas acara 200 meter pecut individu pada Kejohanan Kebangsaan Colombia.

Selaku penerima anugerah tersebut, Azizulhasni membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Kejayaan itu juga menyaksikan Azizulhasni mengenepikan lima lagi calon lain iaitu ratu skuasy, Datuk Nicol David, jaguh, Datuk Lee Chong Wei, Daniel Bego (renang), penerjun negara, Leong Mun Yee-Pandelela Rinong dan juga skuad badminton wanita negara.

Azizulhasni yang tidak dapat hadir semalam kerana masih menjalani latihan serta menuntut di Universiti Deakin di Melbourne, Australia, sempat dihubungi melalui temu bual secara langsung menerusi panggilan telefon pada majlis tersebut.

“Anugerah ini nanti bakal menjadi suntikan semangat kepada diri saya untuk mencipta lebih banyak kejayaan bagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” jelas Azizulhasni yang diwakili oleh ibunya, Selamiah Yong pada majlis semalam.

Sementara itu, skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara pula menerima anugerah khas iaitu Outdo Yourself yang mula diperkenalkan pada tahun ini.

Anugerah tersebut diberikan berikutan kejayaan skuad kendalian K. Rajagobal itu menamatkan kemarau selama 20 tahun apabila berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA di Laos Disember tahun lalu.

Tetamu kehormat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyampaikan anugerah pada majlis itu.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...