Followers

Wednesday, September 16, 2009

Azizulhasni perlu bijak

Azizulhasni perlu bijak

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my
MENYEDARI bakal melalui laluan yang penuh berliku tahun hadapan, pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang perlu bijak merencana strategi terbaik ketika berdepan lawan.

Antara Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Kejohanan Dunia, semua temasya itu penting buat pelumba kelahiran Terengganu itu untuk membawa nama negara di pentas antarabangsa.

Biarpun sukar untuk menyerlah di setiap kejohanan disertainya, Azizul tetap yakin mampu memberikan yang terbaik untuk mendominasi acara kegemarannya, keirin dan juga pecut.

“Tahun depan memang sibuk dan mencabar. Kedua-dua temasya sukan itu, baik Komanwel mahupun Asia sangat penting untuk saya. Saya mahukan pingat di kedua-dua kejohanan berkenaan terutamanya Sukan Asia.

“Siri Kejohanan Dunia juga penting kepada saya untuk menjadi kayu pengukur kepada kemampuan saya dan saya harap keputusan itu nanti lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya yang meraih pingat perak dalam acara pecut 200m dalam saingan kemuncak Kejohanan Dunia, Mac lalu.

Azizul berkata, lima siri Kejohanan Dunia yang akan berlangsung tahun depan mungkin menjadi tempat terbaik menebus kekecewaannya muncul sebagai kuasa dunia dengan menyarung jersi pelangi dalam acara keirin.

Katanya, jersi pelangi adalah jersi yang menjadi impian setiap atlit yang bergelar pelumba basikal justeru selagi belum menjadikannya kenyataan, dia akan tetap terus berusaha.

Menyingkap akan peluang, Azizul tetap optimis kerana pada setiap kejohanan peluang untuk menang sentiasa terbuka namun saingannya sentiasa sukar untuk dijangka.

Apapun kejayaan harus di kejar biarpun sudah sedia maklum setiap kejohanan mewujudkan persaingan dan suasana yang berbeza dan namun perlu dihadapi dengan tenang.

“Senang cerita memang susah kerana bagi saya tiada istilah perlumbaan atau pertandingan yang senang,” katanya.

Siri Kejohanan Dunia akan bermula di Manchester 30 Oktober ini, Melbourne (19-21 November), Cali, Colombia (10-12 Disember), Beijing (22-24 Januari) dan Copenhagen, Denmark (22-24 Mac).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...