Followers

Sunday, February 13, 2011

Azizul ke separuh akhir



AZIZULHASNI AWANG


KORAT - Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang layak ke separuh akhir acara pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di sini, selepas mengatasi pelumba China, Tang Qi dalam saingan suku akhir, semalam.

Namun, Azizulhasni berdepan laluan sukar untuk meriah slot ke akhir apabila berdepan jaguh pecut China, Zhang Miao pada peringkat separuh akhir hari ini.

Zhang Miao layak ke separuh akhir selepas mengatasi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Edrus Yunos dalam satu lagi aksi suku akhir, semalam.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir hari ini, pelumba Jepun, Kitatsuru Tsubasa akan beradu kepantasan dengan pelumba China, Zhang Lei.

Tsubasa layak ke separuh akhir setelah mengatasi lawannya dari Iran, Mohammad Parash manakala Zhang Lei mengalahkan pelumba Korea Selatan, Kim Jungyeol pada peringkat suku akhir.

Walaupun berdepan Zhang Miao pada separuh akhir hari ini, ketua jurulatih negara, John Beasley yakin Azizulhasni mampu mengalahkan jaguh China itu.

Ini kerana, katanya, Azizulhasni berada pada prestasi terbaik dengan mencatat kepantasan yang konsisten sejak pusingan kelayakan lagi.

"Saya yakin Azizulhasni boleh mengalahkan Zhang Miao esok. Prestasi Azizulhasni lebih baik berbanding mana-mana pencabarnya di sini.

"Trek di sini tiada masalah angin yang memberikan kelebihan kepada Azizulhasni untuk melakukan pecutan terbaiknya.

"Saya yakin Azizulhasni mampu layak ke aksi akhir acara pecut di sini," katanya ketika ditemui, semalam.

Beasley turut melaungkan keyakinan Azizulhasni mampu memenangi pingat emas acara tersebut, tanpa mengira walau siapa pun pencabarnya jika dia layak ke babak akhir.

"Jika berjaya ke final, tiada kira siapa pun lawannya sama ada Kitatsuru Tsubasa atau Zhang Lei sekalipun, saya yakin Azizulhasni mampu mengalahkannya," ujarnya. - Utusan

1 comment:

as said...

wish u all da best to make malaysian proud. insyALLAH. azizulhasni boleh ! keep praying keep praying : )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...