KORAT - Edrus Yunus mengiringi Azizulhasni Awang ke pusingan suku akhir acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Kompleks Sukan Korat di sini, semalam.
Namun, kedua-dua pelumba negara itu mengharungi laluan berbeza untuk layak ke suku akhir apabila Azizulhasni tidak begitu dicabar ketika melepasi saingan peringkat kelayakan dan pusingan kedua.
Azizulhasni mencatat masa ketiga terpantas iaitu 10.699 saat pada pusingan kelayakan dan mengalahkan pelumba Iran, Mahmoud Parash pada pusingan kedua, sekaligus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Sebaliknya, Edrus layak ke suku akhir setelah memenangi acara repercharge, mengalahkan dua lawannya, Cheung Joy Lai (Hong Kong) dan Kazuki Amagai (Jepun).
Sebelum itu, pada pusingan kelayakan, Edrus mencatat masa kesembilan terpantas (10.952s), namun kalah kepada jaguh China, Zhang Lei pada pusingan kedua.
Mengulas kejayaannya ke suku akhir, Azizulhasni berkata, dia berpuas hati kerana dapat melakukan kayuhan terbaiknya pada permukaan trek yang tidak rata untuk layak ke suku akhir.
Katanya, saingan pusingan kedua semalam tetap sengit, kerana lawannya Parash sudah masak dengan taktikal dan kepantasan beliau.
"Saya mendapat tentangan sengit daripada Parash kerana dia tahu kelebihan saya. Namun keupayaan saya mengekalkan kepantasan di sepanjang saingan akhirnya memberi kelebihan kepada saya," katanya.
Menurutnya, dia mungkin akan berdepan saingan pelumba China, Tang Qi pada saingan suku akhir hari ini.
"Saya pernah mengalahkan Tang Qi pada Kejohanan Dunia dan berharap dapat sekali lagi mengalahkan beliau untuk layak ke separuh akhir," katanya.
Sementara itu, Edrus berkata, dia bermula kurang baik pada pusingan kelayakan apabila menduduki tempat kesembilan.
Lebih malang, dia berdepan pemegang rekod Asia, Zhang Lei pada pusingan kedua namun kalah, menyebabkan dia terpaksa beraksi dalam repercharge.
"Saya memang sudah menduga tidak berupaya untuk menandingi kepantasan Zhang Lei, namun saya berjaya bangkit dalam acara repercharge untuk layak ke suku akhir.
"Layak ke suku akhir pada kejohanan di sini menunjukkan ada peningkatan berbanding gagal melepasi pusingan kedua pada ACC 2010 di Sharjah, UEA," katanya.
Muhammad Edrus akan berdepan cabaran Zhang Miao dari China pada peringkat suku akhir hari ini. - Utusan
No comments:
Post a Comment