Peluang ke Olimpik tetap ada - Menteri
Ahmad Shabery berkata, walaupun kecederaan itu kelihatan parah tetapi hasil pemeriksaan doktor mendapati kayu yang tercucuk pada betis pelumba itu tidak mengena tiga bahagian penting iaitu saluran darah utama, otot dan tulang kaki.
"Alhamdulillah keadaan dia stabil dan pada masa ini dia baru menjalani pembedahan kecil mengeluarkan kayu tersebut.
"Saya difahamkan pihak hospital melakukan segala yang terbaik untuknya dan sama-sama kita berdoa supaya dia cepat sembuh," katanya kepada pemberita di Hospital Diraja Manchester, semalam. Dalam kejadian tersebut, pelumba berusia 23 tahun itu cedera selepas terjatuh pada perlumbaan akhir kierin Piala Dunia Klasik UCI.
Walaupun kayu masih tercucuk pada betis, pelumba kelahiran Terengganu itu bangkit menamatkan perlumbaan untuk memperoleh pingat gangsa.
Perlumbaan akhir tersebut dimenangi jaguh Britain, Chris Hoy.
Ahmad Shabery berkata, berdasarkan semangat yang ditunjukkan Azizulhasni, beliau yakin pelumba harapan negara itu mampu sembuh lebih awal.
"Kita berharap semangat seperti ini akan dicontohi oleh seluruh atlet negara," katanya.
Beliau menambah, kerajaan akan meneliti laporan doktor sebelum membuat keputusan lanjut tentang rawatan susulan yang perlu dilalui oleh Azizulhasni.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery yang dalam lawatan kerja rasmi ke United Kingdom berkata, Azizulhasni tetap berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik dan seterusnya berusaha mendapatkan pingat emas pertama negara.
Menurutnya, kecederaan itu juga tidak akan menganggu usahanya untuk layak ke temasya berkenaan kerana keazaman dan juga ketabahan yang beliau tunjukkan.
"Dengan kedudukan itu dan mata yang beliau kumpul, Azizulhasni masih lagi berkedudukan sebagai pelumba No. 1 dunia bagi acara kierin.
"Saya percaya selepas pulih, beliau mampu untuk memberikan persembahan terbaik dan seterusnya melayakkan diri ke sukan Olimpik nanti," katanya. - UTUSAN
2 comments:
Link dibawah adalah video untuk acara Keirin Final (Lelaki) di Manchester yang menyaksikan Azizulhasni Awang jatuh dan cedera :
http://www.youtube.com/watch?v=sD5UK-qt9HY
Walaupun ada 7 inci selumbar menembusi betisnya, dia masih mampu berkayuh dan memenangi gangsa. Azizulhasni Awang adalah contoh terbaik seorang atlit/individu yang hebat!
Semoga dia sembuh sepenuhnya, dan jadikan Olimpik di London tahun depan sebagai tempat untuk membuktikan kehebatannya, sekaligus menebus kekalahan di Manchester.
Semoga Zizul sehat sentiasa! Amin
Post a Comment