KUALA LUMPUR – Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang akan memastikan dia tidak lagi ‘berputih mata’, danmenaiki podium merupakan sasarannya pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang akan berlangsung di Korat, Thailand bermula, Rabu depan.
Pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocketrocketman’ itu berazam menghasilkan sesuatu yang cemerlang di Korat, sekali pun menyedari laluannya tidak mudah.
Katanya, dia akan memastikan kekecewaan di Dubai, tahun lalu, dapat ditebus kembali apabila gagal meraih sebarang pingat.
“Saya mahu naik podium, itu sasaran saya kerana tahun lalu saya pulang awal dan kali ini, saya mahu menebus kehampaan itu, walaupun saya sedar laluan yang bakal saya harungi bukanlah mudah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut Azizulhasni, dia menjangkakan saingan sengit yang bakal diterimahadir dari pelumba Jepun, China dan Korea Selatan.
“Namun, saya lebih bimbangkan saingan dari Jepun yang sudah pasti mempertaruhkan pelumba handalan mereka, Tsubasa Kitaksiru dan China pula menurunkan Zhang Lei,” ujarnya.
Mengulas mengenai prestasinya, Azizulhasni memberitahu, kesihatannya baru-baru ini, tidak begitu baik, namun, keadaannya beransur pulih dan yakin mampu memberikan persembahan terbaik di ACC.
Jelas Azizul, dia kini berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan kelajuan kayuhan jika mahu terus kekal kompetetif, terutamanya ketika beraksi pada kejohanan bertaraf dunia.
“Teknik kayuhan saya masih sama seperti dulu. Saya masih mengekalkan gaya kayuhan yang agresif, cuma kalau boleh saya mahu meningkatkan keupayaan dan kelajuan saya ketika berlumba,” tambahnya.
Selain Azizul dan Josiah Ng, seramai enam lagi pelumba elit dan 13 pelumba remaja akan berangkat ke Korat.
No comments:
Post a Comment