Followers

Saturday, February 12, 2011

Azizulhasni hampiri pingat


AZIZULHASNI melayakkan diri ke pusingan suku akhir dalam acara pecut individu lelaki semalam.

KORAT, Thailand - Jaguh keirin negara, Mohd. Azizulhasni Awang semakin hampir menggenggam pingat pertamanya pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011.

Dalam acara pecut individu lelaki yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Nasional Korat semalam, Azizulhasni berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas melepasi pusingan kedua.

Turut mara ke saingan suku akhir ialah seorang lagi pelumba elit negara, Muhd. Edrus Md. Yunus.

Terdahulu, pada saingan kelayakan, Azizulhasni mencatat masa ketiga terpantas iaitu 10.699 saat manakala Edrus berada di tempat kesembilan dengan catatan 10.952s.

Seperti diramal, pelumba Jepun, Kitatsuru Tsubasa merakamkan catatan masa terpantas iaitu 10.504s diikuti Zhang Miao dari China dengan 10.683. Abang Zhang Miao, Zhang Lei yang juga pemegang rekod Asia dalam acara pecut individu pula mencatat masa keempat terpantas iaitu 10.800s.

"Saya berpuas hati dengan catatan masa yang saya lalukan dalam saingan kelayakan pagi tadi (semalam). Ia satu permulaan yang agak baik apabila saya mencatat masa ketiga terpantas. Catatan masa saya dengan Zhang Miao juga tidak begitu jauh, cuma dengan Kitatsuru, ada jurang sedikit," jelas Azizulhasni ketika ditemui semalam.

Pada pusingan kedua yang diadakan pada sebelah petang semalam, Azizulhasni dilihat terpaksa mengerah kudrat yang ada bagi mengetepikan pelumba Iran, Mahmoud Parash sebelum dia mencatat masa 11.302s.

"Ketika menentang Parash, saya akui ia bukan satu tugas yang mudah.

"Ketika loceng dibunyikan, dia mula mengorak kayuhan pantas dan cuba menutup ruang daripada dipintas. Ketika itu, saya cuba mencari peluang yang ada untuk memintasnya.

"Kira-kira 150 meter terakhir, saya berjaya memintasnya dan terus meluru ke depan hingga garisan penamat," kata Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman.

Tidak seperti Azizulhasni, nasib berbeza dialami Edrus pada pusingan kedua apabila dia gagal menyekat kemaraan Zhang Lei yang mencatat masa 11.003s.

Kekalahan kepada Zhang Lei itu menyaksikan Edrus terpaksa bersaing dalam saingan repercharge bersama pelumba Hong Kong, Cheung Joy Lai dan Kazuki Amagai dari Jepun.

Mujur pelumba kelahiran Tapah, Perak itu berjaya melepasi saingan repercharge, sekali gus melayakkannya mengikut jejak langkah Azizulhasni ke peringkat suku akhir hari ini.

"Memang saya gagal melakukan permulaan yang baik pada pusingan kelayakan. Pada pusingan kedua pula, saya cuba memberi tentangan kepada Zhang Lei tetapi dia memang terlalu handal.

"Dalam saingan repercharge, saya telah bertekad untuk melakukan sehabis baik dan saya gembira kerana berjaya melepasi saingan repercharge seterusnya membolehkan saya mara ke peringkat suku akhir esok (hari ini)," kata Edrus.

Pada saingan suku akhir, Azizulhasni bakal membuat perhitungan dengan pelumba China, Tang Qi manakala Edrus akan berentap dengan Zhang Miao.

"Saya tidak boleh leka apabila beraksi di peringkat suku akhir nanti. Saya harap boleh kalahkan dia (Tang Qi) dan layak ke peringkat separuh akhir. Saya juga berharap agar Edrus melepasi peringkat suku akhir kerana jika ada dua pelumba negara di separuh akhir, ia satu keputusan yang hebat," kata Azizulhasni.

Edrus pula menambah: "Layak ke suku akhir sudah memuaskan hati saya. Buat masa ini, saya tidak fikir tentang pingat tetapi lebih kepada mahu memburu kedudukan terbaik dalam senarai lapan pelumba yang mara ke suku akhir. Jika menang pingat, ia sudah dianggap bonus buat diri saya."

Sementara itu, dua lagi pelumba elit negara, Amir Mustafa Rusli dan Fatehah Mustapa gagal menghadirkan sebarang pingat dalam acara scratch lelaki dan wanita. Amir sekadar menduduki tempat keenam manakala Fatehah menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Pemenang pingat gangsa acara perlumbaan mata, Mohd. Adiq Hussainie Othman pula terpaksa menarik diri dalam acara omnium lelaki kerana mengalami demam panas manakala Kimberly Yap pula gagal menghadiahkan pingat bagi saingan omnium wanita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...