Azizulhasni selamat dibedah
KUALA LUMPUR – Jaguh trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, semalam.
Azizulhasni bersama empat lagi pelumba terlibat dalam kemalangan, menyebabkan serpihan dari trek kayu sepanjang 23 sentimeter tertusuk di betisnya. Dia tetap meneruskan perlumbaan selepas kemalangan dan hanya menyedari tentang kecederaan yang dialami selepas menamatkan saingan.
Kecederaan tersebut sekali gus menutup terus hasrat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu beraksi di Kejohanan Trek Dunia yang akan berlangsung di Apeldoorn, Belanda bulan depan.
Insiden tersebut terjadi dalam acara keirin akhir menyaksikan pelumba sedang berasak-asak untuk melintasi garisan penamat sebelum berlakunya pelanggaran sesama sendiri dalam kelajuan 60 atau 70 kilometer per jam.
Ia bermula dengan pelumba Sepanyol, Juan Peralta Gascon tergelincir sebelum terlanggar Azizulhasni yang mewakili pasukan trek profesional negara, Yayasan Sime Darby (YSD) diikuti dua pelumba lagi terjatuh, Kamil Kuczynski (Poland) dan Edward Dawkins (New Zealand) namun keempat-empat mereka bangkit meneruskan perlumbaan dengan cara yang berbeza.
Azizulhasni bangkit semula sambil dibantu jurulatihnya, John Beasley untuk meneruskan perlumbaan dan tidak sedar serpihan kayu tertusuk dari bahagian kanan menembusi bahagian kiri betisnya, manakala Dawkins melintasi garisan penamat sambil menolak basikalnya.
Gascon pula dibatalkan perlumbaannya selepas dia bangun tetapi berlari menuju ke garisan penamat tanpa basikalnya, selepas dia berlari itu barulah jurulatih ataupun pegawainya memberikan basikal tetapi ia tidak dikira.
Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba sensasi Britain, Chris Hoy manakala pingat perak milik Jason Niblett dari Australia, namun hanya dua pelumba itu sahaja berada di podium manakala Azizulhasni dikejarkan ke Hospital Royal Manchester untuk mendapat rawatan lanjut.
Bagaimanapun pingat gangsa itu sudah cukup buat Azizulhasni muncul juara keseluruhan Piala Dunia Klasik mengatasi Chris Hoy dan berada di ranking No.1 dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara keirin.
Menurut Ketua Jurulatih, John Beasley, Azizulhasni selamat dibedah dan tidak mengalami kecederaan yang terlalu serius, tetapi pemenang pingat emas keirin Sukan Asia Guangzhou 2010 itu tetap tidak boleh mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia kerana perlu berehat lebih panjang.
“Ia untuk mengelak risiko berlakunya darah beku dalam saluran darah dan doktor juga telah memberitahu saya beberapa jam selepas kejadian tersebut bahawa Azizulhasni tidak boleh menyertai Kejohanan Dunia,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, Azizulhasni telah menjalani imbasan x-ray dan pembedahan kecil di hospital tersebut namun peluangnya untuk beraksi pada Kejohanan Trek Dunia seakan-akan sudah berakhir.
“Selepas menjalani pembedahan kecil dan berehat kita akan melihat semula situasi Azizulhasni cuma apa yang dia sempat beritahu saya adalah tidak mahu ibu dan isterinya risau, begitu juga dengan peminat seluruh Malaysia.
“Dia tidak mahu orang salah faham mengenai kecederaan ini yang tidak akan menjejaskan peluangnya untuk beraksi di London 2012, begitu juga dengan kariernya, dia amat mengharapkan sokongan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Azizulhasni juga sempat memberitahu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, ketika berada di dalam ambulans menuju ke hospital bahawa dia tidak berasa sakit dan hanya menyedari setelah berjaya menamatkan perlumbaan.
"Ketika dalam ambulans ke hospital, Azizulhasni yang menahan kesakitan masih sempat bercerita kepada saya tentang hasratnya untuk mengejar pingat emas di Sukan Olimpik 2012 nanti,” katanya.
Menurut Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, ia masih terlalu awal untuk menjangkakan berapa lama Azizulhasni perlu berehat sebelum dapatkembali beraksi.
Katanya, ini kerana apa yang lebih penting ialah serpihan kayu trek yang tertusuk menembusi betis kiri pelumba negara itu perlu dikeluarkan terlebih dahulu, dan hanya selepas itu barulah boleh dinilai sejauh mana tahap kecederaan sebenarnya.
Kejohanan Trek Dunia akan bermula pada 23 hingga 27 Mac depan dan Azizulhasni sangat bersemangat untuk membalas dendam terhadap kekalahannya kepada Hoy dalam acara keirin akhir di kejohanan yang sama tahun lepas.
2 comments:
kenapa tak buat live kat malaysia????saya pengikut setia thepocketrocketman...sepatutnya wira negara mcm ni la yang patut ditayangkan live 1malaysia...sedih tak dapat tgk live...
yea...Malaysia punya Hero...World Champion 3 kali...tapi tiada LIVE.
Post a Comment