Followers

Sunday, February 20, 2011

Peluang Azizulhasni pertahan jersi putih

Peluang Azizulhasni pertahan jersi putih


AZIZULHASNI (kiri) berpeluang mempertahankan gelarannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Siri Piala Dunia.


MANCHESTER - Jaguh trek sensasi negara, Azizulhasni Awang berpeluang mempertahankan jersi putih selaku juara keseluruhan apabila berjaya mara ke separuh akhir acara Keirin pada Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester semalam.

Selepas hanya mampu menduduki tempat ke-12 dalam acara pecut kelmarin, Azizulhasni berjaya menebus kekecewan tersebut dengan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi saringan pertama acara Keirin.

Pada perlumban tersebut, pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman itu mengalahkan empat pelumba lain dari Ukraine, Andrii Vynokuro, Clemens Selze dari Austria dan Mazquiaran Uria Hodei dari Eustonia untuk mara ke separuh akhir.

Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng Onn Lam pula akan beraksi dalam kategori repechage selepas menduduki tempat kedua pada saringan kelima di belakang pelumba Jerman, Rene Enders.

Pada saingan separuh akhir, Azizulhasni bakal berdepan laluan mencabar apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Chris Hoy serta jaguh Perancis, Gregory Bauge turut memenangi saringan kedua dan ketiga untuk mara dalam pusingan yang sama.

Ketika ini pelumba yang dianggap calon terbaik untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada Malaysia itu mendahului dengan 20 mata dalam tiga pusingan, diikuti pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven (18), Scott Sunderland dari Australia (16) dan Hoy (12).

Kelmarin, Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-12 dalam acara pecut.

Keletihan mungkin menjadi sebab utama kepada kegagalan Azizulhasni dalam acara tersebut kerana pelumba berusia 23 tahun itu baru saja tiba di Manchester, Rabu lepas setelah menggalas nama Malaysia dalam Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di Korat, Thailand awal minggu lepas.

Juara bagi acara pecut kelmarin dimenangi pelumba Perancis, Kevin Sireau yang menewaskan pelumba Britain, Jason Kenny manakala jaguh pecut Britain, Chris Hoy terkandas di separuh akhir kategori A.

Pada perlumbaan tersebut, Azizulhasni yang menduduki tempat kesepuluh dalam peringkat kelayakan dengan catatan 10.310 saat, terkandas di pusingan kedua setelah tewas kepada pelumba Perancis, Michael D'Almeida yang mencatat 10.702s.

Kekalahan itu menyaksikan Azizulhasni hanya layak ke penentuan 9-12 (kategori B) dengan berdepan pelumba dari China, Zhang Miao.

Pada suku akhir penentuan kategori itu, Azizulhasni berjaya mengalahkan Miao dengan catatan 10.885s sekali gus layak ke separuh akhir untuk bertemu Robert Forstemann dari Jerman.

Namun, pemenang pingat emas acara keirin Sukan Asia 2010 itu gagal menewaskan Forstemann (10.848s) di separuh akhir dan hanya mampu mara ke final penentuan tempat ke-11/12 dengan Damian Zielinsk dari Poland.

Pada pertemuan final penentuan ke-11/12 itu, Azizulhasni sekali lagi gagal mempamer kayuhan bertenaga dan tewas kepada Zielinsk dengan catatan 10.811s untuk berpuas hati sekadar di tempat ke-12.

Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng Onn Lam pula hanya mampu menduduki tempat ke-29 selepas hanya mencatat masa 10.545s di pusingan kelayakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...