Followers

Monday, August 17, 2009

Azizulhasni bukti no.1 Asia


Aksi Azizulhasni Awang (kiri) berjaya mempertahankan gelaran acara akhir pecut 200 meter lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia di Samarinda, Kalimantan, semalam.


SAMARINDA, Kalimantan – Azizulhasni Awang membuktikan dirinya adalah pelumba pecut No. 1 di Asia buat tahun kedua berturut-turut selepas menjuarai acara 200m pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Tenggarong dekat sini, semalam.

Namun, malang bagi Mohd. Rizal Tisin apabila hanya mampu meraih perak dalam acara 1km ujian masa lelaki sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenangi pada kejohanan sama di Nara, Jepun tahun lalu.

Ternyata kejayaan Azizulhasni, pemenang pingat perak Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland pada tahun lalu paling mencuri tumpuan, semalam apabila mudah menewaskan musuh tradisinya dari Jepun, Kazunari Watanabe menerusi dua saringan terus untuk menghadiahkan pingat emas kedua buat negara pada kejohanan ini.

Sebelum ini di sini, Azizulhasni turut membantu trio pecut berpasukan negara meraih emas dengan bergandingan bersama Muhammad Edrus Md. Yunus dan Mohd. Rizal Tisin untuk mencatat masa terpantas dalam sejarah Asia.

Semalam, pelumba berasal dari Terengganu itu turut mencatat masa yang agak pantas pada acara akhir itu. Selepas menang mudah saringan pertama dengan catatan masa 11.447s, Azizulhasni bagaimanapun diberi tentangan sengit pada saringan kedua.

Namun, berbekalkan pengalaman berharga di kejohanan dunia, Azizulhasni yang pada awalnya berada agak jauh di belakang berjaya mengejar sedikit demi sedikit sebelum memintas Watanabe di garisan penamat dengan catatan masa 11.525s.

“Kemenangan ini adalah sebagai hadiah kepada Malaysia yang akan menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini. Saya anggap ia istimewa kerana ini adalah kali kedua berturut-turut saya menang emas di ACC.

“Walaupun tidak melakukan persiapan yang cukup kerana sedang belajar di Melbourne tetapi saya lega masih mampu menang. Ia sekaligus menebus kekecewaan saya yang gagal mempertahankan emas keirin di sini, kelmarin,” katanya.

Pingat gangsa acara ini dimenangi pelumba China, Boa Saifei yang menewaskan pelumba Iran, Hassanali Varposhti pada perlumbaan penentuan tempat ke-3/4.

Rizal, pemenang pingat gangsa kejohanan dunia tahun lalu pula menyalahkan trek yang beralun di Velodrom Tenggarong ini sebagai punca dia hanya mampu mencatat masa 1min:05.759s berbanding pelumba China yang muncul juara, Han Tao, 1:04.910s.

"Sukar untuk berkayuh lebih pantas dalam keadaan seperti ini," katanya selepas perlumbaan. Pingat gangsa bagi acara ini dimenangi pelumba Iran, Alireza Ahmadiashjerdi yang mencatat masa 1:07.401s.

Sementara itu, pelumba wanita negara gagal menambah koleksi pingat selepas Fatehah Mustapha sekadar mampu menduduki tempat keenam acara keirin, semalam.

Dalam acara lebuh raya wanita sejauh 101.km, Nor Azian Alias dan Masziyaton Mohd. Radzi hanya mampu menduduki tempat ke-13 dan 11 sahaja.

Acara ini dimenangi pelumba China, Tang Kerong.

Dengan kejayaan terbaru Azizulhasni dan Rizal Tisin ini, Malaysia setakat ini berjaya mengumpul dua emas (trio pecut berpasukan, 200m pecut lelaki – Azizulhasni), dua perak (keirin lelaki – Hafiz Sufian, 1km ujian masa lelaki - Rizal) dan dua gangsa (500m ujian masa wanita, 200m pecut wanita – Fatehah). – Utusan

1 comment:

Fingers of God said...

mr.Azizul,

its easy to be a champion but it is not damn easy to maintain your championship.

keep smart.

;-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...