aida@hmetro.com.my
TURUN di Voledrom Hisense Arena sebagai pelumba pilihan, Azizulhasni Awang menampil kayuhan bertenaga dalam usahanya merangkul emas pertama buat negara menerusi acara keirin di Kejohanan Piala Dunia Klasik Siri II di Melbourne, semalam.
Bagaimanapun, hasratnya itu dinafikan pelumba Jerman, Carsten Bergemann yang meraih emas dengan dua pelumba negara - Azizul serta Josiah Ng - masing-masing terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa apabila menduduki tempat kedua dan ketiga.
Pingat perak itu bagaimanapun disifatkan sebagai permulaan baik buat Azizul sebagai bekalan untuk layak beraksi di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac ini.
Azizul yang turun bersama pasukan kelab BTA dari Australia itu dilihat berpeluang cerah merangkul emas, sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu, tapi asakan sengit pelumba dari Australia, Shane Perkins di selekoh terakhir, menggagalkan impiannya itu.
sebenarnya yakin untuk meraih emas. Tapi mungkin tiada rezeki saya kali ini apabila saya dihimpit Perkins di selekoh terakhir itu sekali gus menyukarkan saya untuk membuat pecutan.
“Saya cuba juga meloloskan diri daripada himpitan itu, tapi sudah terlambat untuk memintas Bergemann. Apapun saya tetap gembira dengan perak ini,” kata Azizul yang menjelaskan sekiranya menang emas, dia pasti akan menjadi pendahulu senarai kedudukan pelumba bagi acara keirin Piala Dunia.
Taktik kotor yang dipamerkan Perkins itu akhirnya memakan dirinya sendiri apabila penyertaannya dibatalkan.
Sementara itu, tiada pencapaian yang dapat dibanggakan menerusi dua pelumba negara - Akmal Amrun dan Muhammad Syamil Bahrum - yang turut beraksi semalam.
Akmal gagal dalam acara akhir scratch apabila menduduki tempat ke-12 manakala Syamil menghuni tempat tercorot 1 kilometer ujian masa.
No comments:
Post a Comment