Followers

Sunday, December 19, 2010

Azizulhasni dahului senarai keirin UCI

Azizulhasni dahului senarai keirin UCI


2010/12/19

AZIZUL bangga memperaga pingat emas yang diraih, semalam.
AZIZUL bangga memperaga pingat emas yang diraih, semalam.
Muncul juara pusingan ke-2 Piala Dunia di Colombia

JAGUH trek pecut negara, Azizulhasni Awang menemui semula sentuhan apabila menjuarai acara keirin pada pusingan kedua Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik UCI di Velodrom Alcides Nieto Patino di Colombia, semalam untuk sekali gus mendahului carta pungutan mata siri kejohanan itu.
Selepas kurang menyengat pada pusingan pertama di Melbourne dengan sekadar tempat ke-11 dan 2 mata disebabkan keletihan selepas Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou 2010, Azizul yang mewakili pasukan Yayasan Sime Darby (YSD) bingkas dengan kayuhan mantap untuk memenangi saringan 4 acara itu.

Tanpa Chris Hoy yang tidak mengambil bahagian dalam acara itu, Azizul melangkah yakin ke perlumbaan final dengan menewaskan pelumba Perancis yang mewakili pasukan Cofidis, Francois Pervis dan pelumba Republik Czech, Denis Spicka.

Dengan kemenangan itu dan 12 mata yang dikutip, pelumba 21 tahun kelahiran Dungun itu kini mendahului senarai pungutan mata dengan 14, dan dianugerah jersi pelangi UCI selaku pemenang dan pendahulu acara keirin, menjelang baki dua pusingan di Beijing dan Manchester selepas ini, sebelum ke kejohanan dunia.

Pengurus pasukan, Datuk Naim Mohamad berkata, keputusan jurulatih merehatkan Azizul bagi acara Pecut Berpasukan nyata berbaloi apabila pemenang emas Guangzhou 2010 itu mempamer kayuhan bertenaga di depan lebih 3,000 penonton yang memberi sokongan kepada pelumba bertubuh kecil berbanding pesaing lain.

“Alhamdulillah, lagu Negaraku yang berkumandang di Cali menghangatkan pelumba YSD dari Malaysia serta penonton yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan kelas dunia ini, sekali gus meletakkan Azizul di tangga teratas senarai mata Piala Dunia, di depan Chris Hoy, Puerta Zapata, Francois Pervis, Teun Mulder, Christos Volikakis, Denis Spicka, Mickael Bourgain, Simon Ven Velthooven dan Scott Sunderland.
“Begitupun, Azizul mungkin sukar mempertahankan jersi pelangi UCI kerana dia pasti menjadi sasaran pelumba lain pada baki perlumbaan kerana pesaing lain juga saling merebut mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, trio Pecut Berpasukan YSD membabitkan Edrus Md Yunos, Rizal Tisin dan Josiah Ng menduduki tempat keenam untuk mengumpul lima mata, dan menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam senarai mata selepas gagal di Melbourne.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...