Followers

Tuesday, February 22, 2011

Keluarga risau, kagum pengorbanan Azizul



Selamiah Yong tergamam melihat kecederaan Azizulhasni Awang yang dipaparkan di muka depan dan belakang akhbar Utusan Malaysia sewaktu beraksi dalam acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nibong Stesen, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


DUNGUN - Keluarga Azizulhasni Awang di Dungun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kecederaan dialami jaguh lumba basikal negara sewaktu menyertai acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, England, kelmarin.

Namun begitu, mereka tetap kagum dengan semangat serta pengorbanan tinggi Azizulhasni yang tidak mudah menyerah kalah demi maruah negara.

Menurut ibunya, Selamiah Yong, 47, walaupun bimbang dengan kecederaan yang dialami Azizulhasni tetapi kesungguhan serta komitmen tidak berbelah bahagi anaknya itu kepada negara menjadi kebanggaan mereka.

Tambah beliau, Azizulhasni akan pulang ke tanah air seminggu sebelum majlis persandingannya di Perak yang dijadual pada 2 April ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Azizulhasni sejurus menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari kejadian.

"Masa terima panggilan itu, hanya Tuhan yang tahu betapa risau dan terkejutnya saya mengenai nasib yang menimpanya (Azizulhasni).

"Saya hanya mampu berdoa agar dia di sana tak serius dan selamat. Inilah pengorbanan besar dia kepada negara yang tiada tolok bandingnya," katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Nibong Stesyen dekat sini, semalam.

Menurut Selamiah, Azizulhasni ada menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa dirawat di hospital di Manchester malam semalam.

Katanya, Azizulhasni memintanya dan seluruh keluarga di sini agar jangan bimbang dengan kecederaannya di sana.

"Kira-kira pukul 11 malam tadi, dia SMS saya dan dia harap supaya kami di sini janganlah bimbang kerana kecederaan yang dialami tak begitu serius.

"Walaupun begitu, saya tetap risau keadaannya kerana tengok pada gambar dia dalam akhbar hari ini, keadaannya serius dan dia mengerang kesakitan, kasihan dia," ujarnya sedih.

Selamiah juga berkata, anaknya itu sudah keluar dari hospital di Manchester semalam sebelum menaiki penerbangan ke Melbourne, Australia malam tadi (malam ini).

Beliau difahamkan, atas nasihat doktor yang merawat Azizulhasni di Manchester, anaknya itu perlu berehat selama dua minggu sehingga benar-benar pulih.

Jaguh trek negara itu selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa Piala Dunia klasik.

2 comments:

apiz.kamarudin said...

semua org kapung pun risau tp ttp kagum

Unknown said...

not only kpg.... tp semalaysia riso tuu....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...