Followers

Saturday, April 10, 2010

'2A' jadi tumpuan ACC


DUBAI - Dua pelumba negara, Azizulhasni Awang dan Anuar Manan menjadi tumpuan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu ini. Secara kebetulan, mereka berasal dari Terengganu.

Namun, mereka mempunyai tugas yang berbeza. Azizulhasni akan menumpukan perhatian dalam acara trek, sementara Anuar acara lebuh raya.

Mereka kini menjadi tumpuan selepas mencipta nama pada kejohanan lebih besar.

Azizulhasni cemerlang pada Kejohanan Basikal Trek Dunia di Copenhagen, Denmark bulan lalu, manakala Anuar hebat pada Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Jelajah Thailand.

Azizulhasni menyumbangkan pingat perak buat negara dalam acara keirin di Copenhagen.

Azizulhasni juga mahu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Kalimantan, tahun lepas.

Sementara Anuar, masih lagi segar dengan kejayaan meraih jersi hijau (Raja Pecut) dalam saingan LTdL 2010.

Anuar sudah pasti mahu melupakan episod malang di Kalimantan tahun lalu, apabila rantai basikal terputus ketika sedang berlumba.

Dia juga mahu mengetepikan cabaran pelumba handalan dari negara Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan termasuk pelumba veteran, Wong Kam Po dari Hong Kong.

Acara trek yang berlangsung di Velodrom Zayed, Sharjah memberi sedikit kesukaran buat pelumba, kerana jaraknya hanya 250 meter, berbeza dengan velodrom Cheras sepanjang 333m.

Namun, itu bukan penghalang buat Azizulhasni bersama rakan-rakannya untuk mengungguli trek tersebut, ditambah dengan kehadiran semula Rizil Tisin, yang sembuh dari kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan tahun lepas.

Selain Rizal, pelumba lain yang dijangka menyerlah ialah pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa yang akan beraksi dalam acara 500 meter ujian masa, dalam masa yang sama dia juga cuba untuk mengutip mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

Pelumba pelapis juga tidak boleh dipertikaikan seperti mana yang telah dibuktikan oleh Adiq Husainie Othman, selepas memenangi satu perak dan dua gangsa di Indonesia.

Selain Anuar, pelumba berpengalaman lain yang beraksi dalam acara lebuh raya dengan jarak 162 kilometer Isnin depan ialah Ahmad Haidar Anuawar, Muhamad Nur Rizuan Zainal dan Adiq.

Hari ini bakal berlangsung acara ujian masa lelaki dengan skuad kebangsaan mempertaruhkan pelumba, Ng Yong Li. - Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...