Followers

Thursday, April 29, 2010

Azizulhasni yakin tiada yang mustahil pada Sukan Olimpik di London

KUALA LUMPUR - Tidak sampai sehari meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan 2009, pelumba basikal sensasi negara, Azizulhasni Awang mengakui yang dia makin bersemangat untuk menghadiahkan pingat emas di Sukan Olimpik 2012 buat negara.

Jika sebelum ini dia tidak meletakkan azam terlalu tinggi, namun selepas berada dalam ranking pertama dunia acara keirin pada tahun ini, Azizul berasa tiada apa lagi yang mustahil buat dirinya.

''Dalam sukan lumba basikal, cabaran daripada semua pelumba memang agak sengit dan terbuka.

''Tidak kira apa juga pertandingan, bukan mudah buat saya untuk menang kerana persaingan di kalangan pelumba basikal sukar dijangka.

''Namun, dengan kejayaan dari tahun ke tahun terutamanya menduduki tempat kedua Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Copenhagen baru-baru ini dan hanya tewas setengah roda kepada Chris Hoy, saya semakin yakin dengan kemampuan diri sendiri,'' katanya.

Azizul berkata demikian selepas majlis penyampaian tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), semalam.

Mendapat jolokan The Pocketrocketman, Azizul berkata sasarannya dalam masa terdekat adalah mengutip seberapa banyak mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

''Untuk memasuki ke Sukan Olimpik pun, bukannya mudah, ia tidak sama seperti melayakkan diri ke Sukan SEA. Tarafnya cukup tinggi.

''Selain itu, saya mahu memberikan fokus kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia bagi menembus kehampaan kegagalan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) awal bulan ini,'' katanya.

Pada majlis yang sama, Azizul mendapat tajaan RM160,000 setahun daripada YSD.

Tajaan itu meliputi pembiayaan akademik sepanjang Azizul mengikuti pengajian di Universiti Deakin, Melbourne di dalam bidang Perdagangan (pengkhususan Sains Pengurusan) dan siri latihan di Australia.

Ahli Lembaga Pengarah YSD, Datuk Dr. M. Jegathesan telah menyerahkan perjanjian tajaan itu kepada Azizul. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...