Followers

Saturday, April 10, 2010

2A jadi tumpuan di Dubai

MUNGKIN ia satu kebetulan tetapi apabila difikirkan kembali, ada banyak persamaan di antara dua jaguh lumba basikal negara yang mengetuai cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu ini.

Selain kedua-dua empunya nama ini bermula dengan huruf 'A', Azizulhasni Awang dan Anuar Manan juga berasal dari negeri yang sama iaitu Terengganu.

Namun, kali ini Azizulhasni dan Anuar memikul tugas yang berbeza Dubai apabila Azizulhasni yang berasal dari Dungun akan berentap dalam dua acara trek manakala Anuar yang berasal dari Kuala Ibai pula akan cuba memenangi emas pertama negara dalam acara lebuh raya.

Berdasarkan prestasi semasa, kedua-duanya dilihat berpeluang cerah pada kejohanan ini yang lebih kepada persiapan bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia hujung tahun ini.

Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman oleh media antarabangsa, beraksi cemerlang pada Kejohanan Basikal Trek Dunia di Copenhagen, Denmark bulan lalu manakala Anuar pula yang digelar 'Kaimen Raider Malaysia' mempamer kayuhan bertenaga pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Jelajah Thailand.

Selepas menyumbangkan pingat perak buat negara dalam acara keirin di Copenhagen, Azizulhasni sudah pastinya mahu mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi di Kalimantan tahun lepas, sekali gus membuktikan reputasinya sebagai pelumba pecut terbaik di Asia.

Sementara itu, bagi Anuar pula masih lagi segar dengan kejayaan meraih Jersi Hijau (Raja Pecut) dalam saingan LTdL 2010 dan turut cemerlang dalam Jelajah Thailand selepas menggondol dua jersi iaitu Jersi Hijau dan Jersi Biru (pelumba terbaik Asia keseluruhan).

Anuar sudah pasti mahu melupakan badi rantai basikalnya yang putus di Kalimantan dan kini berada dalam keadaan terbaik untuk mengenepikan cabaran pelumba handalan dari negara Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan termasuk pelumba veteran, Wong Kam Po (Hong Kong).

Acara trek yang berlangsung di Velodrom Zayed, Sharjah pula memberi sedikit kesukaran buat pelumba negara berikutan jaraknya hanya 250 meter sahaja berbeza dengan Velodrom Cheras 333 meter.

Begitupun, ia sepatutnya bukan menjadi halangan buat Azizulhasni dan rakan-rakannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...