Followers

Thursday, April 15, 2010

Azizulhasni idam emas keirin


AZIZULHASNI akan beraksi dalam acara keirin di Velodrom Zayed, UAE hari ini.


PELUMBA sensasi negara, Azizulhasni Awang teruja untuk memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2010 di Velodrom Zayed, Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Keinginan itu semakin membuak-buak selepas pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini gagal menyumbang sebarang pingat dalam acara pecut berpasukan kelmarin.

Katanya, kekecewaan menduduki tempat keempat pada kejohanan yang sama di Kalimantan, Indonesia tahun lalu pasti terubat sekiranya dia meraih pingat emas dalam acara keirin di bumi Arab itu.

“Saya perlu beraksi cemerlang pada sesi kelayakan dan seterusnya mara ke peringkat akhir.

“Selepas itu saya akan bekerja keras untuk menyumbangkan pingat emas pertama buat pasukan negara,” katanya.

Menurut Azizulhasni, dia tidak akan menjadikan alasan keadaan trek yang beralun sebagai penghalang untuk memenangi pingat emas dalam acara kegemaran itu kerana semua pelumba juga akan menghadapi masalah yang sama.

“Sebelum datang ke sini (UAE), saya memang berazam untuk memperbaiki kedudukan. Saya bersemangat sejak memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Copenhagen bulan lalu.

“Saya perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan trek. Tidak hanya permukaan yang beralun tetapi keadaan cuaca yang berangin dan debu yang berterbangan.”

Azizulhasni juga berharap insiden kemalangan tidak berlaku pada perlumbaan itu kerana ia bakal menghalang peluang untuk memenangi pingat emas.

“Saya juga gusar kalau berlaku kemalangan ketika saya berada di hadapan tetapi saya rasa semua akan berjalan lancar dalam perlumbaan keirin esok (hari ini),” kata Azizulhasni.

Selain acara pecut berpasukan dan keirin, Azizulhasni juga bakal beraksi dalam acara 200 meter pecut individu yang akan berlangsung esok.

1 comment:

kamarul said...

anggap ini pengajaran. anda boleh buat yang terbaik di masa akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...