Followers

Thursday, April 15, 2010

Azizulhasni tidak sabar sambar emas

DUBAI - Seolah-olah seperti seekor harimau yang lapar, itulah daya keinginan Azizulhasni Awang yang tidak sabar memenangi pingat emas keirin, Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2010 yang akan berlangsung hari ini di Velodrom Zayed, Sharjah.

Azizulhasni yang gagal menyumbang pingat dalam acara pecut berpasukan kelmarin bertekad untuk melupakan kekecewaan itu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada acara kegemarannya.

Katanya, kekecewaan menduduki tempat keempat pada kejohanan yang sama tahun lepas di Kalimantan akan terubat apabila meraih pingat emas keirin di negara Asia Barat ini.

"Sasaran awal saya ialah cemerlang di peringkat kelayakan dan seterusnya mara ke saingan akhir.

''Selepas itu saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyumbangkan pingat emas buat pasukan negara," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelasnya, dia tidak akan menjadikan alasan keadaan trek yang beralun sebagai penghalang untuknya memenangi pingat emas keirin kerana semua pelumba juga menghadapi masalah serupa.

"Sebelum datang ke sini memang saya berazam untuk memperbaiki kedudukan. Saya bersemangat sejak memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Copenhagen bulan lalu.

"Saya perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan trek, bukan sahaja permukaan yang beralun tetapi keadaan cuaca yang berangin dan debu yang berterbangan," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Kata Azizulhasni, dia juga amat berharap tidak berlaku sebarang kemalangan ketika acara keirin tersebut yang sedikit sebanyak boleh menghalang peluangnya untuk memenangi pingat emas.

"Saya juga gusar kalau berlaku kemalangan ketika saya berada di hadapan, tetapi saya rasa semua akan berjalan lancar dalam perlumbaan keirin esok (hari ini)," ujarnya.

Selain acara pecut berpasukan dan keirin, Azizulhasni juga bakal beraksi dalam acara pecut individu yang akan berlangsung esok.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...