Followers

Wednesday, April 14, 2010

Dua Datuk calon popular Olahragawan, Olahragawati

KUALA LUMPUR – Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David, pelumba berbasikal Mohd. Azizulhasni Awang dan pemain boling Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman merupakan antara calon popular yang tersenarai merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2009.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh berkata, atlet-atlet elit tersebut merupakan sebahagian daripada calon-calon yang tersenarai bagi merebut dua anugerah tertinggi sukan negara itu.

“Daripada 49 persatuan sukan, hanya 17 yang mengemukakan pencalonan bagi tujuh kategori yang dipertandingkan bagi Anugerah Sukan Negara 2009,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Mohd. Yasin berkata, pemenang bagi kesemua kategori tersebut akan diketahui pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2009 yang akan berlangsung pada pukul 8.30 malam, 27 April ini di Hotel Mandarin Oriental di sini.

Beliau berkata, tetamu kehormat pada majlis itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan baginda akan menyampaikan hadiah beberapa kategori utama.

Mohd. Yasin berkata, kategori yang dipertandingkan ialah olahragawan/ olahragawati kebangsaan, pasukan lelaki/wanita kebangsaan, jurulatih lelaki/jurulatih wanita kebangsaan, kepimpinan sukan, tokoh sukan, anugerah khas dan olahragawan/olahragawati paralimpik kebangsaan.

Tumpuan, katanya, terarah kepada calon-calon bagi olahragawan dan olahragawati kebangsaan dan kriteria utama pemilihan ialah pencapaian dan konsistensi pada peringkat kejohanan dunia.

Bagi anugerah olahragawan, panel pemilihan yang terdiri daripada wakil KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan wakil daripada akhbar utama di negara ini, telah menerima 12 pencalonan.

Antara yang tersenarai ialah Chong Wei (badminton), Azizulhasni (berbasikal), Sazali Samad (bina badan), Loh Jack Chang (wushu), Zulmazran Zulkifli (tenpin boling), Mohd Hatta Mahamut (karate) dan Daniel Bego (renang).

Sementara bagi calon anugerah olahragawati, sebanyak sembilan pencalonan diterima dan selain Nicol (skuasy) dan Siti Safiyah Amirah (tenpin boling), antara yang turut tersenarai ialah Wong Pei Tty/Chin Eei Hui (badminton), Fateha Mustafa (berbasikal), Siow Yi Ting (renang) dan Norasela Mohd. Khaled (olahraga).

Pemenang olahragawan dan olahragawati kebangsaan, masing-masing akan menerima RM10,000 serta trofi.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2008 dimenangi oleh dua atlet elit, Chong Wei dan Nicol, yang masing-masing menduduki ranking nombor satu dunia bagi sukan badminton dan skuasy. – Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Azizulhasni @ youtube

Loading...