Followers

Tuesday, April 27, 2010

Azizulhasni atau Chong Wei?


AZIZULHASNI AWANG


KUALA LUMPUR – Debaran semakin terasa buat dua atlet tersohor negara dekad ini, Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang yang menjadi calon paling popular untuk dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 2009 malam ini.

Hakikatnya, sukar untuk membuat ramalan tatkala kedua-dua atlet ini terus mempamerkan aksi konsisten sehingga kini.

Bagi Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman, kejayaan yang diraih tahun lalu sudah cukup memberikannya peluang meraih anugerah ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu dilihat sebagai pejuang yang sejati selepas berani berdepan apa jua cabaran dan rintang walaupun saiznya agak kecil untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Azizulhasni layak untuk diangkat sebagai ikon sukan kerana semangat dan keberaniannya memulakan karier bersama Kelab Lumba Basikal Dungun.

Permata lumba basikal kelahiran Dungun Terengganu ini mendaki tangga kejayaan sedikit demi sedikit, bermula dari bawah sehinggalah akhirnya berjaya mencetuskan impian beraksi pada Sukan Olimpik 2008.

Kini menuntut di University Deakin Australia, Azizulhasni muncul pelumba Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Basikal Dunia di Poland.

Biarpun sekadar perak, kejayaan dalam acara pecut pada Kejohanan Trek di Pruszkow nyata amat manis.

Kejayaan sepanjang tahun lepas termasuk muncul juara pusingan kedua Piala Dunia Klasik dan juara pecut Grand Prix Medellin di Colombia menjadikan beliau antara pilihan utama bergelar Olahragawan Kebangsaan 2009.

Sementara itu Chong Wei, yang pernah bergelar Olahragawan Kebangsaan sebanyak dua kali sepanjang tahun 2009 dengan deretan kejuaraan antarabangsa menjadi bukti kemampuannya.

Begitu juga, kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai pemain badminton nombor satu dunia selama 17 bulan menjadi bukti konsistensi beliau di arena antarabangsa.

Kini, Chong Wei, 27, sekali lagi menjadi antara calon pilihan untuk dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan, buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini meraih tujuh kejuaraan besar tahun lepas - Terbuka Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Switzerland, Siri Super Masters Akhir, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia dan Grand Prix Emas Terbuka Macau.

Bagi Olahragawati pula, tumpuan lebih terarah kepada Datuk Nicol Ann David, bagi meraih gelaran buat kali ketujuh dalam tempoh 10 tahun.

Pencapaian atas gelanggang menjurus kepada Nicol sebagai pilihan utama. Empat tahun berturut-turut Nicol mengungguli gelaran Olahragawati Kebangsaan dan dengan pencapaian cemerlang tahun lepas, apakah yang boleh menyekat Nicol dari naik ke pentas pemenang sekali lagi?

Kejaguhan beliau menyerlah apabila memulakan tahun 2009 dengan berada di puncak ranking dunia, dengan rekod selama 17 bulan dan menang dalam kesemua 56 perlawanan sebelum itu.

Kemuncak kejayaan Nicol tahun lepas apabila memenangi Terbuka Malaysia buat kali kelima berturut-turut, satu rekod sebagai pemain pertama berjaya melakukan sedemikian sejak kejohanan pertama pada 1975.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...