Josiah bikin resah
PRESTASI tidak menentu jaguh keirin negara, Josiah Ng menjadi tanda tanya buat Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) selepas dilaporkan, pelumba yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 2004 Athens itu tewas kepada seorang lagi pelumba tempatan, Azizul Hasni Awang.Namun kebangkitan Azizul pelumba muda yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu amat menggembirakan PKBM selepas mempamerkan kesungguhan di kejohanan tempatan di Melbourne, Isnin lalu.Presiden PKBM, Abu Samah Wahab berkata, beliau dimaklumkan perkara berkenaan dua hari lalu, namun masih belum menerima maklumat lengkap berhubung catatan masa yang dilakukan pelumba dari Terengganu itu.“Saya akan ke Melbourne untuk mengetahui perkembangan mereka. Kejayaan dan kegagalan perlu dikaji dengan lebih terperinci lagi.
“Pemergian saya ke Melbourne juga untuk dapatkan maklumat terperinci mengenai prestasi Josiah yang dilihat mula merosot ataupun adakah prestasi Azizul pula kian meningkat.
“Kami tidak boleh membuat andaian untuk Josiah tanpa mengkaji hal sebenarnya. Mungkin Josiah belum sampai waktu kemuncaknya. Apapun saya akan berbincang dengan jurulatih John Beasly,” katanya.Abu Samah turut optimis mengenai kemampuan pelumba trek negara yang lain seperti Rizal Tisin dan Mohd Faris Abdul Razak yang masih berpeluang melayakkan diri ke Olimpik.Katanya, Faris dalam acara scratch ketika di Kejohanan Asia ACC di Bangkok, tahun lalu sudahpun melepasi syarat kelayakan, namun semua itu perlu mendapat kepastian daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas Kejohanan Dunia bulan depan.“Saya perlu membuat pemeriksaan semula dengan UCI mengenai status Faris sekarang. Rizal juga berpeluang melayakkan diri. Dia pernah mencatatkan 1 minit 1 saat dalam sesi latihan acara 1 kilometer. Saya harap dia akan dapat melakukan yang lebih baik di Kejohanan Dunia nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment