Ayah pernah tumbuk Ramli
Ramli Hashim
Bekas pelumba basikal itu kini terlantar kerana diserang diabetes
TIADA apa yang dapat menghalang Ramli Hashim daripada meneruskan kegiatan mengayuh basikal yang menjadi kegilaannya itu, bahkan bangkangan ayahnya sendiri gagal melunturkan semangatnya daripada bergiat dalam sukan yang dicintai itu.
Sehinggakan penumbuk ayahnya yang hinggap di mukanya sebagai hukuman kedegilan Ramli, seakan mencabarnya untuk terus menggiatkan diri dalam lumba basikal, biarpun menyedari tidak mendapat restu daripada orang tuanya.
Kebimbangan ayah Ramli sebenarnya berasas kerana abang Ramli menemui ajalnya di padang bola sepak.
Namun semua itu gagal membunuh keazaman Ramli kerana akhirnya berjaya memiliki basikal yang diidamkan, sungguhpun ayahnya tidak pernah sekali pun membeli basikal sukan yang dimintanya sejak sekian lama.
“Ayah memberi saya RM60, duit saya masih tidak mencukupi lalu saya beralih minat kepada bermain gitar. Baru dua hari selepas itu, kawan saya memanggil saya, bertanyakan jumlah wang yang ada dan menyuruh saya membayar bakinya secara ansuran,” katanya.
Dengan basikal itu bermulalah kerjayanya dalam lumba basikal dengan penyertaannya dalam Sukan Seap 1973, tiga bulan selepas menceburi sukan itu yang menyaksikannya merangkul tiga pingat perak, dalam 1,600 meter ujian masa, 800m dan 400m lepas beramai-ramai.
Kini, kerjaya gemilang Ramli tinggal kenangan buatnya dengan dia kini menghabiskan usianya di rumah berikutan penyakit diabetes yang dihidapinya lapan tahun lalu yang menyaksikan dirinya terpaksa melupakan kegilaannya, mengayuh basikal.
Syarikat dan individu yang prihatin boleh menderma menerusi akaun Yakeb untuk kempen 1Ringgit 1Malaysia, 564847005696 (Maybank) atau disalurkan menerusi SMS dengan menaip YAKEB1, YAKEB2, YAKEB5 atau YAKEB10 (RM1, RM2, RM5, RM10) ke 33898.
Kisah Rosli boleh dilihat menerusi program Bersamamu-Wira Sukan, Anda Tetap Di Hati di TV3 malam ini.
1 comment:
berkobar-kobar ble tgk bersamamu aritu...
akan ku jadikan iktibar untul terus berusaha...
huhu...
Post a Comment