Followers

Saturday, June 25, 2011

Azizulhasni sandaran emas Universiade

Azizulhasni sandaran emas Universiade


SEBAHAGIAN daripada atlet serta pengurus pasukan yang bakal mengambil bahagian dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) Ke-26 di Shenzhen, menyertai majlis suaikenal di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN) Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Kontinjen negara mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China dari 12-23 Ogos ini.

Menurut Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dr. Shaharuddin Ismail, sasaran emas itu diletakkan kepada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang, yang bakal menjejakkan kaki ke trek selepas enam bulan berehat ekoran terlibat dalam kemalangan ngeri yang dialaminya pada Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari lepas.

''Kami melihat dia (Azizulhasni) adalah peluang terbaik bagi meraih pingat emas dan saya harap ia mampu dipenuhi walaupun kami sedar dia baru sahaja pulih daripada kecederaan.

''Selain itu, acara terjun juga mampu memberikan pingat perak, sementara dalam acara memanah dan menembak, kami menyasarkan pingat gangsa.

''Berdasarkan persiapan yang telah dijalankan, saya yakin kontinjen kali ini mampu melepasi sasaran yang ditetapkan malahan kami mungkin boleh mencapai kejayaan yang lebih membanggakan.

''Kami mahu memperbaiki pencapaian satu pingat perak yang diperolehi di Bangkok, empat tahun lalu, " katanya dalam majlis suaikenal pegawai dan atlet Universiade di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Pada edisi 2007, Malaysia memperolehi pingat tunggal melalui acara taekwondo menerusi Chee Chew Chan, namun dia tidak mengambil bahagian pada kejohanan kali ini kerana telah melebih had umur kerana Universiade hanya membenarkan penyertaan peserta berumur 28 tahun ke bawah.

Kontinjen Malaysia akan menghantar seramai 125 atlet dalam 13 acara iaitu terjun, badminton, renang, bola sepak, memanah, catur, berbasikal, gimnastik, golf, menembak, lawan pedang, olahraga dan taekwondo.

Selain Azizulhasni, antara atlet kebangsaan yang bakal menyertai Universiade adalah Pandalela Renong, Leong Mun Yee, Bryan Nikson Lomas (terjun), Khoo Chai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton), Wan Mohd Khalmizam Wan Abd. Aziz dan Chen Chu Sian (memanah).

Biarpun menyedari Universaide kali ini bakal berlangsung pada bulan Ramadan, Shaharuddin berkata, situasi itu tidak dapat dielakkan.

Katanya, mereka akan cuba mendapatkan bantuan serta pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam soal mengekalkan kecergasan atlet.

''Antara perkara yang saya harus beri perhatian ialah soal pemakanan yang mungkin dapat membantu para atlet berada pada tahap terbaik ketika berpuasa dan berharap MSN boleh membantu kami dalam soal tersebut.

''Cabaran besar mungkin datang kepada beberapa acara yang memerlukan penggunaan tenaga yang maksimum seperti bola sepak dan badminton, " ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...