BERGELAR ayah di awal usia 24 tahun begitu mengujakan pelumba berbasikal nombor satu negara, Azizulhasni Awang dan dia kini hanya mengira detik kelahiran cahaya mata sulung yang dijangka akan dilahirkan pada bila-bila masa saja.
Bagaimanapun ia menuntut pengorbanan yang tinggi daripada seorang isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat yang terpaksa menempuh detik mengandung seorang diri apabila terpaksa melepaskan suami tersayang berjuang di Olimpik. Bagi Athiah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Tya berkata, biarpun ada kalanya terdetik rasa rindu dengan mengharapkan Azizul berada di sampingnya agar dapat berkongsi perkembangan bayi mereka bersama, namun dia perlu reda akan perkara itu.
“Mujur teknologi sekarang ini banyak membantu. Saya dan Azizul akan berhubung setiap hari tidak kira di mana dia berada. Dari situ saya akan menceritakan semua perkembangan bayi terutama ketika mula berasa pergerakan sewaktu kandungan di usia enam bulan.
“Jadual Azizul memang padat. Terutama sebelum temasya Olimpik dan ketika itulah detik bayi mula membesar. Semua perkara saya buat sendiri. Nak bercerita ada ketikanya dia tak faham kerana tidak dapat menyaksikannya sendiri. Jadi perasaan itu hanya saya seorang yang dapat rasa. Memang sedih jugalah,” katanya yang memang merancang untuk menimang cahaya mata selepas Olimpik. Namun semua itu terubat sekembalinya Azizul ke pangkuan sejurus selepas tamatnya Olimpik dengan Azizul bijak mengisi masa dengan berkomunikasi lebih kerap dengan bayi.
“Antara detik yang tidak dapat dilupakan adalah ketika kali pertama Azizul berinteraksi bersama bayi. Ketika itu waktu malam. Bila Azizul mula bercakap, bayi dalam kandungan saya mula memberi tindak balas. Ia cukup menggembirakan,” katanya memilih untuk berpantang di kampung halamannya di Ipoh.
Tya bagaimanapun perlu melepaskan Azizul pulang ke Melbourne awal Disember ini kerana tuntutan tugas sebagai atlet perlu diteruskan dan dia hanya kembali ke Australia untuk bersama suami tersayang, awal tahun depan. Ditanya mengenai perancangannya berhubung isu penjagaan anak sekembalinya ke Melbourne, Tya berkata, Azizul memilih untuk menjaga anak mereka sendiri dengan membawanya ke trek.
“Azizul berkata, jika saya bekerja dia sanggup untuk menjaga anak kami dan tidak perlu untuk dihantar ke rumah pengasuh atau taman asuhan kanak-kanak. Katanya, jika Shane Perkins boleh melakukannya dengan membawa anaknya ke trek, jadi dia juga boleh melakukan perkara yang sama.
“Lagi pula Azizul berkata, latihan mereka tidak begitu ketat dan dia yakin boleh melakukan tugas itu,” katanya. Mengulas mengenai persiapan bayi, Tya berkata, semua sudah disediakan dan ada beberapa barang seperti katil bayi hanya dipinjam dari sanak-saudara. Memilih pusat rawatan KPJ Ipoh untuk bersalin dan mengakui hatinya kini semakin berdebar-debar, Tya berharap semuanya akan berjalan lancar dan mengharapkan doa dari rakyat Malaysia untuk kesejahteraannya dan bayi.
No comments:
Post a Comment