Followers

Sunday, January 24, 2010

Azizulhasni juara keirin Piala Dunia


AZIZULHASNI AWANG


KUALA LUMPUR – Hasrat tercapai. Impian jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang menjuarai acara keirin pada saingan akhir Piala Dunia Klasik di Beijing, terlaksana, semalam.

Kemenangan itu sekali gus bermakna Azizulhasni bakal beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac ini sebagai pemegang jersi putih, iaitu pendahulu keseluruhan acara keirin.

Pada perlumbaan akhir semalam, Azizulhasni yang mewakili pasukan Bike Technologies Australia, berjaya mengetepikan pelumba Australia, Jason Niblett di tempat kedua, manakala tempat ketiga diraih oleh pelumba pasukan Jayco, Daniel Ellis.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat dua lagi pelumba negara menaiki podium, tidak kesampaian apabila Josiah Ng, yang turut berjaya menyertai perlumbaan akhir semalam, sekadar menduduki tempat keenam.

Kejayaan semalam, bermakna, Azizulhasmi, yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocketrocketman’ mengulangi pencapaian tahun lalu, apabila menewaskan Gregory Bauge dari Perancis pada perlumbaan akhir untuk meraih pingat emas.

Kemenangan di Beijing itu membolehkan, Azizulhasni, 22, memadamkan kekecewaannya pada dua perlumbaan Piala Dunia Klasik yang disertainya di Manchester, England dan Melbourne, Australia, apabila gagal menjuarai acara tersebut.

Berbanding musim lalu, dia memenangi dua siri Piala Dunia dalam acara keirin, iaitu di Melbourne (Siri Kedua) dan Beijing (Siri Keempat).

Kemenangan itu menyaksikan Azizulhasni menyarung jersi putih, selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan acara keirin, apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland tahun lepas.

Kedudukan keseluruhan selepas saingan akhir semalam, menyaksikan Azizulhasni menduduki tangga teratas dengan mengumpul 22 mata, walaupun pencabarnya, Levy Maximilian dari Jerman turut meraih mata yang sama, tetapi akur di tangga kedua kerana gagal mencatat sebarang kemenangan pada tiga aksinya di kejohanan tersebut.

Sebelum saingan terakhir Piala Dunia di Beijing, Azizulhasni mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan keenam, manakala pelumba dari Jerman itu mendahului di tempat pertama dengan 15 mata.

Josiah pula menduduki tangga keempat keseluruhan dengan mengutip 13 mata, dan akan menyertai Azizulhasni dalam acara pecut, hari ini.

Kejohanan Dunia tahun ini akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 24 hingga 28 Mac depan.

Sementara itu pelumba tunggal wanita negara, Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara ujian masa 500 meter, sekadar menduduki tangga ke-15, dengan masa 36.142 saat.

Fatehah, yang mengambil bahagian dalam acara pecut individu kelayakan wanita kelmarin, sekadar menduduki tempat ke-22 dari 25 pelumba, dengan masa 12.174 saat, menyebabkan dia gagal ke pusingan suku akhir.

1 comment:

mongki said...

bang, saya baru nak main basikal, kat mane eh nak cari barang basikal murah2 dan semua ade? email kat saya kakikukram@yahoo.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...