GUANGZHOU - Setelah lesu kelmarin, usaha memburu sembilan pingat emas kembali rancak apabila basikal trek dan boling menyumbang dua pingat emas, semalam sekali gus meletakkan kontinjen Malaysia kembali ke landasan untuk mencapai sasaran ditetapkan.
Basikal trek menyumbang emas dan pingat perak kedua negara dalam acara keirin lelaki selepas Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng menamatkan perlumbaan dengan kemenangan 1-2.
Kemenangan Azizulhasni dan Josiah itu mengulangi pencapaian hebat mereka ketika bertarung pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu. Bagaimanapun kemenangan Azizulhasni dibatalkan oleh komisar dan Josiah yang dalam berkedudukan pingat perak, diisytiharkan sebagai pemenang.
Kejayaan anak buah jurulatih John Beasley itu kembali menyuntik semangat kontinjen negara dan beberapa jam selepas Malaysia meraikan kejayaan atlet berbasikal trek, boling muncul garang menerusi acara berpasangan lelaki, apabila membutirkan emas ketiga daripada Alex Liew dan Adrian Ang yang melakukan keseluruhan 2,711 jatuhan pin selepas bermain enam blok.
Jepun yang melakukan 2,691 jatuhan pin menduduki tempat kedua, mengatasi Thailand yang terpaksa berpuas hati meraih gangsa selepas mencatat keseluruhan 2,662 jatuhan pin.
Ekuestrian juga tidak menghampakan apabila menyumbang dua pingat - perak dan gangsa dalam dressage individu, semalam. Quzandria Nur Mahamad Fathil yang membantu acara berpasukan meraih gangsa.
Ini membuktikan dia masih antara ekuin yang perlu digeruni di Asia apabila mengutip perak mengatasi abangnya, Mohd. Qabil yang berpuas hati dengan menang gangsa.
Quzandria mengumpul 73.800 mata selepas menghabiskan kesemua disiplin, manakala Qabil, yang mengulangi pencapaian gangsa di Doha empat tahun lalu, mencatat 72.600 mata.
Kedua-duanya terpaksa akur dengan kelebihan pemenang pingat emas, Hwang Young Shik dari Korea Selatan, yang selesa mendahului saingan dengan 74.900 mata.
Skuad sepak takraw meneruskan langkah kanan ke separuh akhir selepas membenam Jepun 3-0, kemenangan kedua selepas mengecewakan tuan rumah, China pada hari pertama sekali gus mengukuhkan kedudukan menghuni tangga teratas saingan Kumpulan B.
Menembak, yang menceriakan kem Malaysia selaku penyumbang pingat pertama negara menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi, terus suram tanpa podium, dengan gandingan Nur Suryani, Nur Ayuni Abdul Halim dan Shahera Rahim Raja tenggelam kepada kehebatan penembak tuah rumah yang menguasai acara Rifle 3 Position.
Dua wakil lelaki yang dipertaruh untuk melakukan kejutan, Hasli Izwan Amir Hasan dan Hafiz Adzha turut menerima nasib yang sama, tercicir jauh daripada saingan lapan kelompok utama dalam saingan 25 meter Standard Pistol. di lapangan Aoti Sports Centre di sini, semalam.
Sementara itu, taekwondo yang memasuki pertarungan hari pertama sukan tempur dengan harapan mengintai kilauan pingat, tumbang menerusi dua wakilnya dalam kategori bawah 46 kilogram dan bawah 49kg wanita pada peringkat suku akhir.
Nurul Asfalina Mohamad Johari yang berlawan dalam kategori berat bawah 46kg, tewas kepada lawannya dari Indonesia, Fransisca Valentina 1-4 walaupun sebelum itu dia menumbangkan peserta Kazakhstan, Aizhan Alizhanova 2-1 di awal pertarungan.
Rakan sepasukan, Elaine Teo pula tidak terdaya untuk menahan asakan Chanapa Sonkham dari Thailand yang menundukkan atlet Malaysia itu dengan kiraan 6-3.
Acara renang pula menyaksikan wakil Malaysia dalam acara 100m gaya bebas lelaki dan wanita tenggelam tanpa sebarang pingat. - Utusan
1 comment:
tahniah kepada semua atlit negara...
Post a Comment